Ketua Bahagian Bersatu Pekan kembali ke pangkuan UMNO
BENTONG – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Datuk Wan Abu Bakar Wan Mohamed mengambil keputusan keluar daripada parti itu dan kembali ke pangkuan UMNO pada Jumaat.
Menurut laporan UMNO Online, Wan Abu Bakar menyerahkan borang permohonannya untuk kembali ke dalam UMNO kepada Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disaksikan Setiausaha UMNO negeri, Datuk Ab Hamid Nazahar di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Janda Baik di sini.
Menurut laporan itu, Wan Abu Bakar menjelaskan bahawa UMNO adalah sebuah parti besar dan wadah perjuangan orang Melayu.
"UMNO satu ketika dahulu menentang Malayan Union serta menuntut kemerdekaan parti itu dipilih untuk mentadbir dan membangunkan negara melalui Barisan Nasional (BN).
“Peranan UMNO sangat besar kepada orang Melayu dan wadah ini sepatutnya tidak boleh diabaikan. Hari ini saya isytiharkan meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Pekan dan menyertai UMNO.
"Insya-ALLAH kita bersama-sama memberikan semangat kepada UMNO Pahang yang telah membina UMNO dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy bersyukur atas keputusan Wan Abu Bakar dan ia satu berita baik khusus untuk UMNO negeri dan UMNO secara amnya.
Beliau percaya dan yakin keputusan tokoh berpengalaman itu untuk kembali ke pangkuan UMNO akan menguatkan lagi parti.
“Macam dapat suntikan vaksinlah, jadi kita seru kepada mereka di luar sana kembali kepada parti. Boleh tengok rekod sejak merdeka kita sentiasa bersama rakyat," katanya.
Isnin lalu, bekas ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar kembali ke pangkuan UMNO dan mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bersatu Temerloh serta merta.
Tengku Azlan turut menyerahkan borang permohonannya untuk menyertai UMNO melalui Bahagian Paya Besar kepada Wan Rosdy.
Keputusan untuk kembali ke pangkuan UMNO dibuat kerana beliau percaya UMNO adalah sebuah parti yang menjadi tunjang pada perjuangan orang Melayu dan Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!