Prestasi ekonomi Malaysia semakin baik tingkatkan keyakinan pelabur
PRESTASI ekonomi Malaysia yang semakin baik akan melonjakkan keyakinan pelabur dan sekali gus menggambarkan petunjuk bahawa negara ini bergerak ke arah yang betul, kata ahli ekonomi.
Profesor Madya Putra Business School, Abu Sofian Yaacob berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan isyarat positif kepada bakal pelabur bahawa negara ini masih bertahan di tengah-tengah peningkatan kes jangkitan Covid-19.
"Walaupun pada ketika ini Malaysia masih berhadapan dengan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi, kita telah membuktikan kita berjaya menaikkan KDNK berserta dengan keyakinan bahawa kadar vaksinasi berjalan lancar ke arah imuniti kelompok," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 16.1 peratus pada suku kedua 2021, disokong terutamanya oleh peningkatan permintaan dalam negeri dan prestasi eksport yang berterusan.
Abu Sofian berkata, untuk ekonomi meneruskan pencapaian positifnya, kerajaan perlu menguatkuasakan langkah-langkah yang lebih ketat bagi memastikan sektor ekonomi terus beroperasi dengan risiko minimum terhadap jangkitan Covid-19.
Beliau menambah, terdapat juga keperluan untuk membuka kembali lebih banyak sektor ekonomi secepat mungkin untuk meningkatkan kehidupan masyarakat terutama yang terlibat dalam perniagaan ekonomi mikro.
"Dengan membenarkan peniaga membuka kembali perniagaan, mereka boleh mendapat pendapatan yang lebih stabil dan tidak sepenuhnya bergantung pada pemberian kerajaan," tambahnya.
Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat bahawa ekonomi masih lemah dan lanjutan kawalan pergerakan akan terus mempengaruhi kegiatan ekonomi.
"Walaupun KDNK suku kedua 2021 naik lebih tinggi, ini hanya disebabkan oleh kesan asas yang rendah. Sekiranya kita bandingkan dengan paras KDNK suku kedua 2019, ekonomi masih menguncup sebanyak 3.9 peratus," jelas beliau.
Bank pusat juga menyemak semula sasaran pertumbuhan ekonomi untuk tahun 2021 kepada antara tiga dan empat peratus, lebih rendah daripada unjuran awal antara enam dan tujuh peratus.
Mohd Afzanizam menyatakan semakan KDNK itu perlu berdasarkan ketidakpastian yang meningkat terhadap kadar kecepatan pembukaan semula ekonomi.
"Pada julat unjuran tiga hingga empat peratus, ini jelas menunjukkan bahawa bank pusat dan kerajaan agak berhati-hati terhadap risiko penurunan. Itu bermakna pendirian ke atas dasar monetari dan fiskal dijangka kekal meluas dalam usaha memudahkan proses pemulihan,” kata beliau.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, syarat untuk pemulihan ekonomi yang berterusan adalah kepantasan dalam pembukaan semula ekonomi.
"Ini sangat bergantung kepada program vaksinasi yang kini berjalan dengan baik.
"Walaupun keseimbangan risiko lebih menjuruskan kepada menurun, sokongan dasar yang cukup besar seharusnya dapat memberikan dorongan yang diperlukan sebaik sahaja negara ini mencapai imuniti kelompok dalam waktu terdekat," tambah beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!