Tabung Haji mampu teruskan subsidi
KUALA LUMPUR - Pelan penyusunan semula yang diambil bagi mengukuhkan semula prestasi kewangan syarikat, telah membuahkan hasil sehingga membolehkan Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan pemberian bayaran subsidi untuk semua jemaah haji muassasah kali pertama.
Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata pemberian bayaran subsidi itu akan melibatkan semua jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini.
Pelan penyusunan semula itu yang selesai pada 31 Dis lepas, telah membuka ruang kepada prestasi TH yang lebih baik dan dijangka akan berterusan pada tahun ini untuk membolehkan TH meneruskan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang memerlukannya.
“Kita berada dalam keadaan yang membolehkan kita meneruskan subsidi kerana kedudukan kewangan TH telah beransur pulih hasil daripada ‘turn around plan’ kita laksanakan.
“Kita menjangka prestasi TH untuk 2019 ini akan bertambah baik dan ini memberikan kita peluang untuk meneruskan subsidi haji,” katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif di Wisma Bernama hari ini. .
Zukri berharap penjelasannya mengenai perkara itu akan melenyapkan segala khabar angin dan penyebaran berita tidak benar.
“Pengumuman ini juga adalah untuk kill all the rumours dan semua berita (tidak benar) yang timbul tentang subsidi TH agar tidak timbul lagi,” tegasnya.
Zukri yang mengambil alih jawatan itu pada 13 Julai lepas berkata kepimpinan TH sekarang mengamalkan sikap telus berhubung prestasi kewangan TH berbanding dahulu.
“Kami akan lebih telus dalam soal berhubung prestasi kewangan kami,” katanya.
Zukri berkata dengan pengumuman terbaharu ini, kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah kira-kira RM400 juta, dengan subsidi yang ditanggung TH adalah RM12,920 daripada kos haji pada tahun ini iaitu RM22,900 untuk setiap jemaah, menjadikan jemaah haji kali pertama hanya perlu membayar RM9,980 sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata TH akan menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini.
Dalam kenyataan media hari ini beliau berkata, keputusan itu dicapai selepas beberapa perbincangan bersama Lembaga Pengarah TH selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH bagi tahun 2019.
Mujahid berkata sebelum ini pelbagai dakwaan mengelirukan timbul terutama berhubung isu kos jemaah yang membuat rayuan haji, meskipun pada masa itu perkara berkenaan belum dimuktamadkan.
Pada 14 Februari lepas, Mujahid mengumumkan bayaran untuk menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!