Muhyiddin tawar kerjasama merentas parti

pm
pm
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

“Saya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan ini pada minggu hadapan. Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik.

“Saya bersedia mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini. Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan pada Jumaat.

Muhyiddin dalam masa sama turut memberi jaminan bahawa beliau mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik itu..

Keutamaannya kini hanya untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini. Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

Artikel Berkaitan:

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual? Sedangkan tempoh dua bulan akan datang amat genting.

“Jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan, kita akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober. Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” jelasnya.

Menurut beliau, jika kerjasama itu berjaya dilaksanakan, antara tawaran yang akan diberikan ialah peruntukan kepada ahli Parlimen berjumlah RM300,000 tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan atas semangat kerjasama bi-partisan.

Selain itu, bagi mendokong prinsip ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Society’ dalam memerangi pandemik Covid-19, Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara.

“Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion.

“Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis Covid-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” ujarnya.

Tambahnya, dalam menangani krisis kesihatan Covid-19, peruntukan tambahan akan disediakan bagi meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes Covid-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate.

"Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumberluaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta selaras dengan pendekatan ‘Whole of Nation’," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!