Muhyiddin sedih perkembangan politik kini

Muhyiddin Yassin.- Foto Bernama
Muhyiddin Yassin.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sedih dengan perkembangan politik yang sedang berlaku akhir-akhir ini.

Beliau menyatakan bahawa memegang jawatan Perdana Menteri merupakan tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik Covid-19 yang luar biasa sejak lebih setahun yang lalu.

“Pastinya, saya memerlukan sokongan daripada rakan-rakan saya dalam kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai kerajaan, barisan hadapan dan rakyat untuk membawa negara keluar daripada krisis.

“Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional kerana dengan sokongan mereka saya berada di sini hari ini.

“Malangnya ketika saya dan rakan-rakan dalam kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa ahli Parlimen telah menarik sokongan kepada saya. Ini menimbulkan keraguan mengenai keabsahan saya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah,” katanya semasa Ucapan Khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara pada Jumaat.

Jelas beliau, terdapat dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan yang boleh dilakukan iaitu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya atau meletak jawatan.

Tambahnya, pilihan paling mudah ialah meletak jawatan tetapi masih tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini.

“Jika saya meletakkan jawatan, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu.

Artikel Berkaitan:

“Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk. Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera?

“Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual? Sedangkan tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting. Jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan, kita akan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!