Rayu sokong Anwar jadi PM bukti PH tiada calon PM alternatif

 Datuk Zuraida Kamaruddin
Datuk Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rayuan Pakatan Harapan (PH) secara terbuka agar sokongan diberikan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri mengesahkan pembangkang tiada calon Perdana Menteri alternatif dengan sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, rayuan terbuka itu satu tindakan terdesak dan membuktikan PH pada masa ini bukan sahaja tiada bilangan sokongan yang mencukupi malah tidak pernah ada.

Menurutnya, walaupun PH tidak mampu untuk membentuk kerajaan, pemimpin pakatan itu secara berulang kali dengan begitu gelojoh cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zuraida berkata, Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH sentiasa cuba mengalihkan perhatian demi menutup hakikat sebenar, sehingga menjejaskan kerajaan yang sedang bergelut dengan wabak.

"Dengan berbuat demikian, mereka berharap akan ada yang menyokong untuk mencukupkan jumlah sokongan," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu pada Jumaat.

Beliau merujuk kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden PH pada Jumaat yang sekali lagi mengulangi pendirian untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam kenyataan sama, PH turut menjemput semua ahli Parlimen yang menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.

Dalam pada itu, Zuraida mengimbau kembali apa yang berlaku pada 13 Oktober tahun lalu, apabila Anwar pergi ke Istana Negara yang kononnya untuk mempersembahkan bukti sokongan terhadapnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Tiada apa pun yang berlaku selepas itu dan siapa boleh lupa sepanjang sidang Parlimen pada 2 November hingga 17 Disember 2020, apabila PH gagal menggesa undi belah bahagi dilakukan ketika peringkat dasar Belanjawan 2021 kemudian terus gagal sebanyak 27 kali dalam undian peringkat jawatankuasa untuk kementerian.

"Sekarang, sekali lagi, PH yang diketuai Anwar cuba menyahstabilkan kerajaan yang sedang berusaha keras menangani wabak Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan perpaduan mesti diterajui PH, Anwar calon PM: Khalid Samad

Beliau menyifatkan ia satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab Anwar dan PH, malah sikap tamak kuasa mereka telah mengancam negara dan akan terus mengancam kesihatan serta kebajikan rakyat.

"Dengan rayuan terdesak yang dibuat PH pada hari ini, mereka sebenarnya hanya menjaringkan gol sendiri. Mereka telah mengesahkan yang mereka tidak dapat membentuk kerajaan, di sebalik serangan tanpa henti terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Mereka juga mengesahkan yang mereka hanya 'mencuba nasib' tanpa menghiraukan nasib rakyat.

"Mungkin saya telah menyatakan perkara ini, tetapi saya sekali lagi ingin menggesa semua pihak untuk memberi tumpuan kepada rakyat, di tengah-tengah krisis kesihatan yang pertama kali kita hadapi ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!