PDRM serah 20 bakul makanan dalam Op Bantu
KOTA KINABALU - Kehadiran sekumpulan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sambil membawa bakul makanan seolah-olah memahami keadaan sebuah keluarga yang kebetulan baru saja kehabisan bekalan makanan di Kampung Pulau Penampang, pada Jumaat.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian termasuk beras itu disampaikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Yusuh Mat Tais bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Menurut penerima, Rubiah Abd Kalson, 45, dia baru saja dimaklumkan sebagai penerima bakul makanan melalui Op Bantu Fasa 3 dari IPD Kota Kinabalu.
"Saya tidak sangka mereka datang bawa bakul makanan dan kebetulan kami baru saja kehabisan beras tengah hari tadi.
"Memandangkan keluarga kami terkesan kerana kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19 melanda, kadang-kadang kami tidak dapat membeli barang makanan sebagai bekalan jika habis," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Rubiah yang juga suri rumah memaklumkan suaminya juga tidak dapat bekerja semula kerana menghidap penyakit buah pinggang dan jantung menyebabkan mereka sekeluarga sering kesempitan.
Seorang lagi penerima, Norainah Hamzah, 38, menyatakan perasaan lega apabila menerima sumbangan bakul makanan daripada pihak PDRM.
"Sejak suami kehilangan kerja tiga bulan lalu, kami sekeluarga terpaksa makan bercatu.
"Kadang-kadang tidak berlauk dan terpaksa berjimat cermat, makan hanya perlu sebagai mengalas perut saja," katanya yang berasal dari Kampung Mangga-Mangga.
Sementara itu, Yusuh berkata, sebanyak 20 bakul makanan disampaikan menerusi Op Bantu yang dilaksanakan IPD Kota Kinabalu.
"Pemberian sumbangan ini dengan memilih keluarga yang betul-betul memerlukan bantuan segera. Kadang-kadang ada keluarga yang kehilangan pekerjaan dan perlukan bantuan segera.
"Sebab itu kita wujudkan kumpulan WhatsApp, bila ada yang menaikkan bendera putih dan ada yang menghubungi kita, kita akan pilih dengan teliti mereka yang sangat memerlukan tanpa mengira status termasuk bukan daripada golongan B40," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu.
Hadir sama dalam program itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!