Taliban perkuat cengkaman, tawan bandar besar

Kumpulan Taliban berarak di jalan utama selepas menawan Herat yang merupakan bandar ketiga terbesar di Afghanistan. - Foto AFP
Kumpulan Taliban berarak di jalan utama selepas menawan Herat yang merupakan bandar ketiga terbesar di Afghanistan. - Foto AFP
A
A
A

KABUL - Kumpulan militan Taliban semakin memperhebat serangan selepas terus mara dan menawan bandar kedua dan ketiga terbesar di negara itu.

Keadaan itu memberi tamparan hebat kepada pasukan keselamatan yang gagal menyekat kemaraan mereka selepas pengunduran pakatan tentera asing hampir selesai pada akhir bulan ini.

Jurucakap majlis wilayah, Ghulam Habib Hashimo berkata, bandar Kandahar di selatan dan Herat di barat kini jatuh dalam cengkaman Taliban pada Jumaat, beberapa hari selepas pertempuran tercetus hingga memaksa pasukan keselamatan berundur.

Di Kandahar, jurucakap pemerintah memaklumkan pasukan keselamatan masih mengawal lapangan terbang di bandar itu yang menempatkan pangkalan kedua terbesar tentera Amerika Syarikat (AS) ketika peperangan berlarutan selama 20 tahun di negara tersebut.

Sementara itu, Ketua Majlis Wilayah di Ghor, Fazel Haq Ehsan mengesahkan kumpulan militan tersebut sudah memasuki Feroz Koh dan berlaku pertempuran di ibu kota berkenaan.

Taliban dalam satu kenyataan turut mendakwa berjaya menguasai ibu kota Qala-e Naw di wilayah Badghis dan Lashkar Gah di wilayah Helmand.

Kemaraan kumpulan itu ke kawasan pusat bandar dan didakwa semakin menghampiri Kabul dalam tempoh lapan hari menandakan pasukan keselamatan kini hilang kawalan ke atas sebahagian besar kawasan di negara terbabit.

Susulan itu, Pentagon dan United Kingdom (UK) memaklumkan ia akan mengerahkan anggota tentera tambahan dalam tempoh 48 jam untuk membantu usaha pemindahan kakitangan Kedutaan AS serta warga Britain. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

>Sejak melancarkan serangan sengit pada awal Mei lalu, Taliban sudah menawan sebanyak 12 ibu kota dari 34 wilayah.

>Kumpulan militan itu kini menguasai kira-kira dua pertiga kawasan di Afghanistan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!