Rasuah hanya penuhi nafsu diri

Wan Rosmawati Wan Ali
Wan Rosmawati Wan Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak yang berkepentingan terhadap sesuatu akan bertindak dengan merasuah individu bertanggungjawab melaksanakan perkara itu demi memastikan hajatnya tercapai.

Peguam Syarie daripada Tetuan Wan Rosmawati & Associates, Wan Rosmawati Wan Ali berkata, ekosistem yang sengaja diwujudkan itu lama-kelamaan melupuskan sistem keadilan di negara ini.

"Kesannya, mereka yang mempunyai wang, pangkat, kedudukan akan sentiasa mendahului yang lain sekalipun mereka lebih berkelayakan.

"Berdasarkan pada pemerhatian saya, rasuah tidak hanya berlaku dalam kalangan mereka yang berjawatan besar, sebaliknya ia turut melibatkan pegawai bawahan.

"Rasuah akan memberi kesan yang lebih besar jika mereka yang berjawatan tinggi dalam sesebuah jabatan terlibat, kerana kuasa membuat keputusan tertakluk kepada pihak atasan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan bahawa rasuah dalam kalangan kakitangan bawahan juga boleh memberi kesan yang hampir sama dengan merasuah pegawai atasan.

Katanya, lihat saja dalam situasi jika kakitangan bawahan itu merupakan orang kepercayaan pegawai atau pun mempunyai hubungan baik dengan pegawainya.

"Misalnya, jika seseorang tertuduh telah merasuah kakitangan dan pegawai mahkamah. Kesan yang diterima tertuduh itu berbeza. Dalam situasi tertuduh merasuah kakitangan mahkamah, kakitangan tersebut hanya boleh melobi atasannya supaya memberikan hukuman yang lebih ringan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi, jika tertuduh merasuah seorang hakim, kes tersebut berkemungkinan terus digugurkan tanpa sabitan bersalah. Dua kedudukan itu memberi kesan yang amat tidak baik dalam masyarakat," katanya.

Pada masa sama, Wan Rosmawati turut berkongsi pengalamannya yang pernah berdepan dengan situasi ditawarkan rasuah semasa mengendalikan kes.

"Saya menolak dan menegaskan sekiranya saya melakukan perkara yang dicadangkan, yang akan menerima kesan buruk adalah mereka dan keturunannya.

"Setelah menjelaskan kesan yang akan diterima, pihak terbabit akur dan bersedia menjalankan kes mengikut prosedur yang ditetapkan supaya keturunan mereka tidak perlu berterusan menanggung kesalahan yang telah dilakukan.

"Kes-kes yang melibatkan pendaftaran nikah sindiket melibatkan penentuan nasab anak tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya demi menutup aib semata-mata," katanya yang turut menyokong kempen Rasuah Busters.

Rasuah Busters katanya, adalah satu kempen yang sangat bagus untuk memupuk masyarakat khususnya generasi muda supaya tidak mewarisi perbuatan rasuah yang pernah dilakukan oleh generasi-generasi sebelumnya.

"Tidak mudah untuk menghentikan amalan rasuah jika tiada kesedaran.

"Pelaksanaan undang-undang terhadap pemberi dan penerima rasuah hanya mampu membendung jenayah namun tidak dapat menghentikannya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!