'Letak jawatan, jadi ketua pembangkang'
SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyarankan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan mengambil alih jawatan ketua pembangkang.
Beliau menyarankan perkara itu susulan tawaran yang dikemukakan oleh Muhyiddin untuk menjadikan jawatan tersebut bertaraf menteri kanan
"Ingat Mahiadin (Muhyiddin) umum pakej rangsangan ekonomi yang baru.
Rupanya pakej untuk lembutkan pembangkang dengan 'scheme of things' baru.
"Saya setuju cadangan ketua pembangkang bertaraf menteri dengan segala kemudahan.
"Ok Mahiadin sudah boleh letak jawatan PM dan ambil alih jawatan ketua pembangkang taraf menteri," katanya menerusi satu ciapan di akaun Twitternya.
ARTIKEL BERKAITAN:Muhyiddin tawar kerjasama merentas parti
Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!