Kerjasama buka peluang henti pertelagahan politik
SHAH ALAM - Kerjasama rentas parti di antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan akan membuka ruang untuk semua parti politik dalam negara melibatkan diri dalam usaha memerangi Covid-19 dan menghentikan pertelagahan politik yang berterusan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia selaras dengan konsep whole of nation dan whole of society yang diamalkan kerajaan, seterusnya mengembalikan fokus kepada keutamaan yang sebenar iaitu rakyat.
“Pertelagahan politik yang berterusan tidak memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang adalah masa untuk semua pihak duduk dalam satu saf yang sama dan menggembleng seluruh tenaga yang ada demi memastikan kita menang bersama dalam melawan pandemik yang melanda.
“Pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin juga selaras dengan komitmen kita untuk meneruskan reformasi tadbir urus negara.
“Mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, memperkenalkan satu rang undang-undang baharu untuk Undi 18, perubahan dalam proses Parlimen dan kemudahan kepada pembangkang serta ketua pembangkang, semuanya adalah antara reformasi yang diperlukan oleh negara setelah pelbagai kerosakan yang kita warisi daripada golongan kleptokrat dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas Wan Saiful, pengumuman perdana menteri itu seharusnya menjadi mekanisme tuntas untuk menghentikan usaha berterusan golongan kleptokrat dan penyokong mereka untuk merampas kuasa demi kepentingan peribadi mereka.
Katanya, golongan kleptokrat dan penyokong mereka tidak meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Pengumuman berani dan ikhlas ini juga menunjukkan usaha ‘kluster mahkamah’ untuk membunuh karakter Tan Sri Muhyiddin telah gagal.
“Saya menyeru agar semua ahli-ahli politik daripada semua parti menyokong cadangan-cadangan Tan Sri Muhyiddin. Tiada alasan lagi untuk terus berbalah. Ini adalah butang ‘reset’ untuk kita kembalikan tumpuan kepada menjaga kebajikan rakyat dan membina semula ekonomi negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!