Tiada alasan Muhyiddin tangguh letak jawatan
JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat, tiada alasan lagi yang mewajarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menangguhkan perletakan jawatan beliau.
Menurutnya, rakyat kini menanti dengan tenang untuk Muhyiddin melakukan perkara yang wajar, benar dan terhormat.
"Tiada apa jua alasan yang mewajarkan Tan Sri menangguhkan perletakan jawatan walau sesaat. Perlembagaan Malaysia bukan instrumen yang boleh diperlaku dan ditafsir dengan nafsu serta kehendak sang penguasa.
"Ia adalah instumen yang dirangka untuk melindungi kepentingan negara dan bangsa ini, bukan melindungi seorang Perdana Menteri atau mana-mana parti politik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Perdana Menteri perlu menyerahkan semula kuasa dan kerajaan kepada rakyat kerana 'permainan' sudah tamat dan biarkan rakyat menentukan jalan seterusnya.
Katanya, negara tidak boleh diperjudi dan diperlakukan seperti sekarang kerana masa depan Malaysia lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada kepentingan sekelompok 'kumpulan Muhyiddin'.
Menurutnya, Muhyiddin sudah berjuang puluhan tahun dalam UMNO untuk negara ini menjadi lebih baik sebelum meneruskan perjuangan dengan parti baharu lalu diberi kepercayaan mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Tetapi percayalah, walaupun Tan Sri merasakan telah melakukan yang terbaik tetapi yang terbaik pada Tan Sri dan rakan-rakan dalam kerajaan itu tidak pada sisi pandang rakyat dan kami semua.
"Pilihan raya atau apa jua pilihan seterusnya, biarkan raja yang kita cintai putuskan dengan hikmah dan pedoman yang terbit dari rasa hati serta nurani rakyat," katanya.
Khaled berkata, Amerika Syarikat mengadakan pemilihan Presiden pada waktu pandemik memuncak.
"Tetapi pilihan raya tersebutlah yang telah menyelamatkan Amerika, bukan sahaja daripada pandemik yang lebih parah, tetapi juga daripada kecurangan dalam amalan demokrasi. Mungkin ini yang Malaysia perlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!