Ambulans ambil pesakit Covid-19 terbabas

Sebuah ambulans terbabas ketika dalam perjalanan untuk mengambil pesakit Covid-19 di Hulu Kinta. - Foto ihsan pembaca.
Sebuah ambulans terbabas ketika dalam perjalanan untuk mengambil pesakit Covid-19 di Hulu Kinta. - Foto ihsan pembaca.
A
A
A

IPOH - Seorang pembantu perubatan mengalami kesakitan di bahagian pinggang selepas ambulans dinaikinya terbabas di Jalan Tambun berhampiran Taman Tambun di sini pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, siasatan awal mendapati ambulans milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu dalam perjalanan mengambil pesakit Covid-19 di Batu 8, Hulu Kinta.

"Lelaki berusia 40 tahun bersama pemandu, lelaki berusia 55 tahun dalam tugas daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mengambil pesakit berkenaan dan seterusnya dihantar ke Hospital Sungai Siput.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan sejauh 60 meter dan masuk ke dalam longkang," katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu tidak melibatkan kenderaan lain atau menyebabkan kerosakan harta awam.

"Ketika kejadian, keadaan jalan basah dengan cuaca hujan. Mangsa yang kesakitan telah dibawa untuk mendapatkan rawatan.

"Ambulans terbabit telah dinyahkuman dan ditarik ke Klinik Tanjung Rambutan selain ditahan untuk pemeriksaan oleh Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya," katanya.

Azizan berkata, kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 166/59.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!