Mampu bertutur lima bahasa utama dunia, hasil belajar dari YouTube
KUALA LUMPUR - Bayangkan dengan hanya berbekalkan ilmu dari YouTube, seorang anak muda kelahiran Sabah mampu bertutur lima bahasa utama di dunia, selain turut fasih berbahasa Melayu dan sukuan Sungai Kalabuan.
Kedengarannya memang sukar, namun itulah dibuktikan Azrey Henderey, 20, dari Tongod, sebuah daerah pedalaman di Sabah, apabila beliau menunjukkan kemampuannya bertutur dalam bahasa Jepun, Rusia, Sepanyol, Mandarin, bahasa Inggeris serta bahasa ibundanya, dialek Sungai Kalabuan dan bahasa Melayu menerusi satu video di aplikasi TikTok.
Menerusi paparan video TikTok itu, Azrey begitu selesa, selamba dan fasih menuturkan bahasa utama dunia itu ketika bersembang dalam talian menerusi media sosial dengan kenalannya di luar negara.
"Saya mahu mengembara ke seluruh dunia suatu hari nanti, jadi saya mahu belajar pelbagai budaya dan mahu lebih memahami mereka, jadi kalau boleh saya mahu belajar bukan sahaja tujuh lapan tapi sebanyak boleh bahasa yang saya mampu,” katanya kepada Bernama.
Menceritakan kebolehannya berbahasa Mandarin, Azrey berkata, kemahiran itu diperoleh ketika belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sabah pada usia tujuh tahun, sebelum menyambungnya setahun kemudian di Johor kerana mengikuti keluarganya berpindah ke negeri itu.
Ketika di sekolah menengah pula, beliau berkata kekangan bahasa yang dihadapi beliau untuk berkomunikasi dengan pelajar dari Jepun yang mengikuti program pertukaran pelajar di sekolahnya membuatkan beliau nekad untuk mempelajari bahasa Jepun menerusi saluran YouTube.
"Saya tidak mampu mengikuti kelas sebab yurannya agak mahal, jadi saya gunakan medium percuma iaitu YouTube selain menonton siri anime Jepun,” katanya menambah, beliau lebih mudah dan cepat belajar menggunakan video berbanding buku.
Bercerita lanjut, Azrey berkata setelah menamatkan persekolahannya, beliau berkenalan dengan ramai sahabat dari luar negara seperti Sepanyol, Kazakhtsan, Rusia serta Jepun, kebanyakannya menerusi media sosial sehingga mendorong beliau untuk mempelajari lebih banyak bahasa untuk memudahkan komunikasi.
Mengakui bukanlah semudah yang disangkakan, Azrey berkata setiap ilmu yang diperolehnya di YouTube perlu dipraktikkan menerusi latihan percakapan dan beliau banyak menggunakan aplikasi OmeTV yang membolehkannya berinteraksi dengan pelbagai individu dari seluruh dunia.
"Pada pendapat saya kalau kita belajar sesuatu bahasa, kita dapat lebih memahami seseorang itu dan kita dapat memahami budaya mereka.
"Kalau kita bercakap menggunakan bahasa ibunda seseorang itu, orang itu akan lebih terbuka berkongsi masalah dan pendapat dengan kita,” katanya yang berhasrat mempelajari bahasa Poland, Jerman dan Korea selepas ini.
Penuntut Tahun pertama Diploma in Broadcasting di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang bercita-cita menjadi penyampai radio itu turut menasihatkan anak-anak muda untuk mempelajari lebih daripada satu bahasa.
"Teknologi pun makin canggih gunakanlah peluang ini sebaiknya, kamu akan rasa keindahan bila kamu mampu bercerita dengan orang yang kamu gunakan bahasa mereka, kamu akan dapat pelajari banyak benda yang tiada di sekolah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!