Hotel di Pulau Pinang mula terima tempahan
GEORGETOWN - Hotel di Pulau Pinang mula menerima tempahan untuk hujung minggu ini selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dalam sektor sosial bagi negeri di bawah Fasa Dua dan Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K Raj Kumar berkata, beberapa hotel di kawasan pantai, bandar dan hotel perniagaan (business hotel) di negeri ini menerima tempahan bilik sehingga lima peratus bagi hujung minggu ini.
Menurutnya, peratusan tempahan itu dijangka meningkat pada minggu hadapan.
"Ini adalah permulaan yang baik untuk industri perhotelan dan kita mula melihat ada peningkatan peratusan apabila industri ini terpaksa dihentikan operasinya selepas beberapa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
"Peratusan tempahan bilik hotel di Pulau Pinang dijangka dapat dilihat dengan lebih tepat pada minggu depan. Ini kerana, buat masa ini masyarakat masih sangat berhati-hati berikutan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 sejak beberapa minggu ini," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Bermula Selasa lalu, aktiviti pelancongan yang melibatkan inap desa dan hotel dibenarkan beroperasi untuk individu yang diberi vaksin lengkap di negeri di bawah Fasa Dua dan Tiga PPN.
Menurut Raj Kumar, pihaknya juga berharap agar kerajaan Pusat memberi kelonggaran untuk mereka yang menginap di hotel atau inap desa antaranya dibenarkan menggunakan kolam renang dengan kapasiti yang terkawal.
"Selain itu, pengunjung yang menginap di hotel juga dibenarkan ke pantai bagi mereka yang menginap di hotel berdekatan pantai. Kita lihat perkara ini perlu dilonggarkan sedikit.
"Ini kerana, tanpa kelonggaran ini, pengunjung tidak akan berminat untuk menempah hotel kerana yang dibenarkan tinggal di hotel adalah mereka yang tinggal di negeri ini sahaja.
"Tentu mereka akan fikir, lebih baik tinggal di rumah jika fasiliti seperti kolam renang tidak dibenarkan. Oleh sebab itu, saya harap cadangan ini dipertimbangkan," katanya.
Mengulas mengenai kebenaran 'dine-in', Raj berkata, pihaknya telah mengarahkan semua hotel agar memaparkan senarai pekerja yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
"Ia terpulang kepada pelanggan sama ada mereka mahu teruskan 'dine-in' atau sebaliknya. Bagaimanapun, saya memberi jaminan bahawa semua hotel mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa.
"Semua kakitangan hotel diwajibkan memakai pelitup muka, 'face shield' dan sarung tangan setiap masa. Proses sanitasi juga akan dijalankan setiap tiga jam di kawasan utama hotel," katanya.
Sebanyak 26 di antara lebih 100 hotel di Pulau Pinang telah ditutup sementara manakala 11 telah menamatkan operasi mereka susulan pelaksanaan PKP kerana wabak Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!