Pekerja asing didakwa merusuh
MELAKA - Sekumpulan pekerja kilang warga Bangladesh didakwa membuat rusuhan di sebuah asrama yang menempatkan pekerja asing di Pantai Puteri, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mereka didakwa membuat provokasi terhadap seorang pengawal keselamatan dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba untuk memberikan bantuan kepada seorang pekerja asing yang tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati rusuhan berlaku kerana mereka tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal keselamatan berusia 33 tahun itu menguruskan salah seorang rakan mereka yang dilaporkan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pengawal keselamatan itu bertindak membawa turun pekerja yang tidak sedarkan diri dari tingkat asrama setelah ambulans tiba, namun pekerja tersebut disahkan telah meninggal dunia.
Menurutnya, kekecohan bermula apabila salah seorang pekerja Bangladesh enggan memberikan kerjasama sebelum membuat rusuhan di hadapan pintu pagar asrama dan melakukan kerosakan sehinggakan van ambulans yang dinaiki petugas KKM mengalami kemik dan calar.
Bagaimanapun katanya, pengawal keselamatan serta petugas KKM berjaya keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum keadaan dapat dikawal pihak polis.
"Beberapa perkakas pejabat pondok pengawal, kamera litar tertutup (CCTV), peti penggera kebakaran dan sebuah motosikal jenis Honda Wave milik pengawal keselamatan itu turut dirosakkan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM22,000," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Jelas beliau, setakat ini tiada tangkapan dilakukan memandangkan lebih 670 pekerja asing itu sedang menjalani perintah kuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu.
Ujarnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai tidak bimbang dengan situasi itu.
Tular beberapa rakaman video di Facebook dipercayai berhubung rusuhan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!