FAMA Jerantut jangka hasilkan 10 tan pes durian musim ini
KUANTAN - Sebanyak 10 tan pes durian dijangka dapat dihasilkan oleh Pusat Pemprosesan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Jerantut pada musim durian kali ini.
Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, setakat ini, hanya Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut menjadi pengeluar utama bagi penghasilan pes durian.
"Setiap hari sekurang-kurangnya lima tan durian jenis kampung diproses bagi menghasilkan 500 hingga 600 kilogram pes, pengeluaran banyak bergantung kepada penerimaan buah daripada pekebun di daerah ini.
"Kita juga menjangkakan 10 tan pes akan diperoleh memandangkan pengeluaran durian jenis kampung yang bertambah pada musim kali ini dan membolehkan aktiviti menghasilkan produk hiliran seperti tempoyak dan pes dilakukan dalam jumlah yang banyak.
"Kualiti pes keluaran Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut begitu terkenal apabila mendapat permintaan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha produk berasaskan makanan seperti aiskrim, kek dan biskut," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Noh menjelaskan, pihaknya menerima lebih lapan tan durian jenis kampung dan klon pada setiap hari di mana tiga tan untuk pasaran segar dan selebihnya untuk menghasilkan pes dan tempoyak.
Tambahnya, peningkatan aktiviti penjualan durian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pekebun terpaksa menjual kepada FAMA untuk mengelak kerugian.
Katanya, disebabkan itu, Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut menerima banyak durian apabila pemborong serta pembeli luar tidak boleh datang ke daerah ini.
"Kalau kita lihat, musim ini pengeluar durian lebih banyak berbanding sebelumnya. Daerah Jerantut sememangnya terkenal dengan durian kampung dan ia melibatkan beberapa kawasan termasuk Kampung Damak," katanya.
Sehubungan itu, Noh berkata, pihaknya sudah membuka Pusat Operasi FAMA Lanchang, Temerloh bagi menghasilkan pes dan tempoyak.
Bagaimanapun menurutnya, ia masih di peringkat percubaan dan sekiranya pusat ini berjaya, ia akan terus beroperasi pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!