KPM umum insentif khas

Pengusaha kantin sekolah diberi pengecualian bayaran sewa bagi tempoh enam bulan mulai Julai 2021 sehingga Disember 2021.
Pengusaha kantin sekolah diberi pengecualian bayaran sewa bagi tempoh enam bulan mulai Julai 2021 sehingga Disember 2021.
A
A
A

SHAH ALAM – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak pandemik Covid-19, memberi impak kepada penyedia perkhidmatan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) kerana turut tidak dapat beroperasi sepanjang sesi persekolahan ditutup.

Pengusaha kantin sekolah antara golongan yang terjejas kerana pendapatan mereka selama ini bergantung kepada pembelian daripada pelajar-pelajar dan guru-guru pada sesi persekolahan.

Begitu juga dengan kontraktor Bekalan Makanan Bermasak (BMB) asrama yang turut melalui situasi serupa kerana tiada pembekalan makanan dapat dibuat ketika semua murid menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Selain itu, penyedia perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) turut dilaporkan terjejas disebabkan pemotongan bayaran kepada mereka hingga menyebabkan timbul pula isu pemotongan sebahagian gaji pekerja pembersihan.

Situasi yang membelenggu menyebabkan golongan-golongan ini berada dalam keadaan yang tertekan dan mengharapkan perhatian daripada kerajaan.

Ternyata suara dan rintihan mereka telah mendapat perhatian kerajaan apabila baru-baru ini KPM mengumumkan insentif yang memberi kelegaan kepada pihak-pihak yang terlibat.

KPM berbesar hati memaklumkan bahawa bayaran kepada kontraktor perkhidmatan KBK akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak.

Dengan jaminan tersebut, maka tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan media yang mengumumkan insentif kepada penyedia perkhidmatan di bawah KPM.
Kenyataan media yang mengumumkan insentif kepada penyedia perkhidmatan di bawah KPM.

Selaras dengan pengumuman itu juga, KPM turut bersetuju melanjutkan kontrak perkhidmatan bagi BMB dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran perlaksanaan PKP.

Pada masa sama, nasib pengusaha kantin serta penyewa premis atau ruang membabitkan kedai buku, koperasi, kedai dobi dan ‘vending machine’ juga dibela apabila pihak terlibat diberi pengecualian bayaran sewa bagi tempoh 6 bulan mulai Julai 2021 sehingga Disember 2021.

KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kepada golongan tersebut di sekolah bawah KPM secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.

Sambut baik

Keprihatinan KPM itu tentunya disambut baik oleh pihak berkenaan kerana diakui sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban mereka yang begitu terkesan sepanjang penutupan sekolah.

Bagi pembekal makanan bermasak asrama, Kamaruzzaman Abu, pihaknya amat mengalu-alukan insentif yang diberikan KPM itu.

Kamaruzzaman
Kamaruzzaman

Katanya, sejak operasi sekolah ditutup, pihaknya tidak dapat membekalkan makanan menyebabkan tiada bayaran yang boleh dituntut kepada pihak KPM sekali gus menjejaskan mata pencarian keluarganya.

“Saya sudah berkecimpung dengan bidang ini sejak tahun 2005 lagi. Tidak mudah untuk bertukar arah.

“Jadi, pengumuman ini agak melegakan juga kerana kontrak disambung secara automatik. Terima kasih kepada KPM.

“Namun dalam masa sama, kami juga mengharapkan bantuan tunai kerana setelah hampir dua tahun tidak dapat beroperasi, ramai yang sudah ‘kering’ simpanan dan akan menjejaskan modal,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi pengusaha kantin Sekolah Menengah Ulu Tiram, Johor Bharu, Zetty Zanariah Masiran, pengumuman KPM memberikan pengecualian sewa kepada mereka amat dihargai kerana membantu meringankan beban.

Zetty Zanariah
Zetty Zanariah

Katanya, meskipun sekolah pernah beroperasi seketika, namun jualan di kantin tidak begitu memberangsangkan kerana tidak semua murid membuat tempahan makanan berbungkus.

“Saya bayar sewa RM2,200 sebulan. Jadi bila tiada jualan, memang sukar untuk kita bayar sewa. Sedangkan kita masih perlu bertanggungjawab membayar bil utiliti.

“Jadi dengan ada insentif ini, saya mengucapkan terima kasih kepada KPM kerana turut memberi penambahan kontrak automatik. Sekurang-kurangnya boleh menampung kembali kerugian kami,” katanya.

Sementara itu, pemilik mesin minuman dan makanan, Shahrul Nizam Mohd Yup berharap dengan pengecualian sewa kantin, penyewa mesin minuman dan makanan sepertinya juga menerima tempias pengecualian.

Dia yang menyambut baik pengumuman KPM turut berharap pemantauan perlu dilakukan agar manfaat tersebut sampai kepada golongan sasar tanpa birokrasi membabitkan pentadbiran sekolah.

“Insentif itu baik, namun dari segi perlaksanaannya perlu dipantau. Seperti saya menyewa dengan kantin, jadi harap pengusaha kantin juga dapat beri pengecualian.

Kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK), Mohd Ashaari Masiran, juga senada menyifatkan pengumuman KPM adalah langkah yang baik, demi membela nasib golongan terjejas.

Mohd Ashaari
Mohd Ashaari

Katanya, diharapkan KPM dapat menyegerakan proses pembayaran kepada kontraktor terlibat bagi melancarkan urusan bayaran gaji kepada pekerja kerana sebagai majikan bertanggungjawab, pihaknya terlebih dahulu telah menanggung bayaran tersebut.

“Saya harus memuji juga Menteri Pendidikan kerana cepat bertindak dan segera memaklumkan perkara tersebut.

“Jika tidak, seramai 50,000 warga kerja KBK seluruh negara akan terjejas teruk kerana rata-rata mereka adalah golongan B40 dan miskin tegar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!