Audio tular mayat pesakit Covid-19 tidak dituntut palsu
SEREMBAN - Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan berita kononnya lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar berkata, sejak dua hari lalu, pihaknya mendapat aduan mengenai perkara tersebut yang kini tular di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp.
"Sejak beberapa hari ini ada pihak cuba menularkan satu mesej bahawa terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut oleh keluarga mereka di Seremban.
"Saya telah menghubungi Pengarah HTJS untuk mendapatkan penjelasan dan beliau menyatakan perkara tersebut adalah tidak benar.
"Sehingga hari ini semua mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 telah dituntut oleh keluarga masing-masing," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Tambahnya, beliau memohon supaya orang ramai tidak menyebarkan isu-isu yang tidak benar dan sensitif seperti ini, yang boleh mencetuskan suasana tidak aman.
Sementara itu, Pengarah HTJS, Dr Zaleha Mohd Nor mengesahkan isu lambakan mayat tidak dituntut akibat Covid-19 adalah palsu dan tidak berlaku sepertimana yang ditularkan melalui audio berbahasa Tamil.
Pada Jumaat, tular sebuah audio berbahasa Tamil mengatakan terdapat lebih 40 mayat berbangsa India yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dituntut dan berlambak di bilik mayat HTJS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!