Tak sampai beberapa jam, tawaran Muhyiddin ditolak mentah-mentah
SHAH ALAM - Tidak sampai beberapa jam selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tawaran kerjasama rentas parti kepada pembangkang pada petang Jumaat, semua tawaran tersebut telah ditolak.
Rata-rata daripada pihak pembangkang dilihat telah menolak mentah-mentah cadangan itu kerana beranggapan tindakan yang dilakukan Muhyiddin bersifat sogokan secara terbuka.
Tidak ketinggalan juga mereka terus mengecam kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana beliau dikatakan sudah hilang majoriti dan kini seolah-olah bagaikan telur di hujung tanduk.
Ini kerana terdapat dakwaan yang mengatakan jumlah yang menyokong Muhyiddin ketika ini hanya tinggal 100 ahli Parlimen, manakala jumlah yang tidak menyokong seramai 120 orang.
Susulan daripada pengumuman khas itu juga, UMNO mengeluarkan kenyataan mengucapkan penghargaan atas pengakuan ahli Parlimen Pagoh itu, yang secara terbuka menyatakan beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku perdana menteri yang sah sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) yang merupakan blok terbesar pembangkang turut mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran yang disifatkan sebagai tidak ikhlas.
Majlis Presiden PH yang terdiri daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tawaran tersebut sepatutnya dibuat lebih awal, bukannya pada penghujung hayat politik Muhyiddin.
Mereka berpendapat, Muhyiddin seharusnya memberi tumpuan untuk menyelamatkan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19, bukan kerjaya politiknya.
Perkara sama turut dilakukan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mana mereka konsisten menolak segala tawaran yang dinyatakan Muhyiddin.
Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking menegaskan, cadangan yang ditawarkan itu diibaratkan seperti gula dan boleh dilaksanakan jika penubuhan kerajaan baharu dilakukan.
Beberapa ahli Parlimen bebas yang turut menyelar tawaran Muhyiddin ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
ARTIKEL BERKAITAN:Tiada ahli Parlimen PH sokong PN: Anwar
ARTIKEL BERKAITAN:Memalukan satu dunia menonton kata Mat Sabu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!