Perlis umum SOP baharu solat di masjid
ARAU - Semua masjid di negeri Perlis kecuali dalam mukim Kuala Perlis tertakluk kepada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) diperketat yang berkuat kuasa waktu Zohor pada Sabtu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, tiada surau atau tempat solat umum dibenarkan dibuka.
Titah baginda, larangan itu termasuk agensi, institusi, parti, maahad tahfiz dan lain-lain melainkan dengan kebenaran khas daripada pihak MAIPs melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).
"Bagi pengimarahan di masjid, hanya anak kariah yang telah lengkap divaksin dibenarkan hadir ke masjid. Maksud lengkap divaksin adalah selepas 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.
"Manakala bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan Cansino adalah selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan dos," titah baginda menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, jemaah masjid kecuali petugas dan pegawai adalah dilarang keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain.
"Walaupun melengkapi syarat vaksinasi, pegawai bertugas dan jemaah masjid turut dilarang hadir sekiranya terlibat dalam aktiviti rentas sempadan atau negeri dalam tempoh dua minggu daripada tarikh merentas," titah baginda.
Baginda bertitah, pengimarahan di masjid juga hanya tertakluk kepada aktiviti solat fardu lima waktu dan solat Jumaat sahaja.
"Aktiviti lain seperti kuliah agama dan ceramah adalah ditangguhkan manakala solat jenazah yang terdiri daripada kalangan petugas dan ahli keluarga terdekat harus tidak melebihi 12 orang dengan syarat pematuhan SOP yang ketat.
"Bagi individu yang bermusafir, solat sebolehnya dilaksanakan di penginapan. Namun begitu bagi aktiviti musafir tanpa penginapan di Perlis, ruang solat disediakan di anjung luar masjid.
"Namun ia hanya dibenarkan pada tiga waktu iaitu jam 5.30 hingga 6.30 petang untuk solat Jamak Taakhir Zohor dan Asar, jam 9.30 hingga 10.30 malam untuk solat Jamak Taakhir Maghrib dan Isyak dan bagi solat Subuh, ruang berkenaan disediakan pada jam 6.30 hingga 7 pagi," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bagi acara akad nikah, ia boleh dilaksanakan di premis persendirian atau JAIPs dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
"Semua SOP berkenaan telah mendapat kurnia limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negeri terbabit.
"Dalam berhadapan situasi penularan yang semakin meluas dalam komuniti, besarlah harapan saya agar seluruh rakyat yang dikasihi dapat mempertingkatkan kawalan kendiri demi menjamin keselamatan dan kesihatan masyarakat secara umumnya.
"Teruskan berikhtiar dan memperteguhkan berdoa kepada ALLAH SWT agar segala kesulitan yang dihadapi ini segera pulih dan keadaan kembali seperti sedia kala," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!