Japen Melaka rangka 45 program IOW Merdeka

Salah seorang kakitangan syarikat kurier Ninja, Ahmad Nazrul Ahmad Nazri, 23, memasang Jalur Gemilang yang diterimanya daripada Jabatan Penerangan Melaka pada Program Info On Wheels (IOW) Merdeka di Rembia hari ini. - Foto Bernama
Salah seorang kakitangan syarikat kurier Ninja, Ahmad Nazrul Ahmad Nazri, 23, memasang Jalur Gemilang yang diterimanya daripada Jabatan Penerangan Melaka pada Program Info On Wheels (IOW) Merdeka di Rembia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Jabatan Penerangan (Japen) Melaka merangka 45 program Info On Wheels (IOW) Merdeka untuk dilaksanakan di ketiga-tiga daerah di negeri itu sepanjang Ogos ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Penolong Pengarahnya, Nurhasnani Abdul Wahab berkata, daripada jumlah itu 39 program antaranya pengedaran Jalur Gemilang, poster dan bahan penerbitan berkaitan kemerdekaan negara telah berjaya dilaksanakan hingga Jumaat.

"Menerusi program IOW sempena Bulan Kebangsaan, sebanyak 3,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz, 4,000 poster serta bahan penerbitan berkaitan kemerdekaan diedarkan secara percuma kepada orang ramai.

"Edaran bendera secara percuma itu bertujuan menggalakkan orang ramai mengibarkannya di kediaman, premis dan kenderaan masing-masing sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan," katanya kepada pemberita pada Program IOW Merdeka 2021 di Rembia, di sini pada Sabtu.

Sebanyak 40 Jalur Gemilang diedarkan kepada pekerja syarikat perkhidmatan kiriman cepat untuk dipasang di kenderaan masing-masing.- Foto Japen Melaka
Sebanyak 40 Jalur Gemilang diedarkan kepada pekerja syarikat perkhidmatan kiriman cepat untuk dipasang di kenderaan masing-masing.- Foto Japen Melaka

Pada program itu, sebanyak 40 Jalur Gemilang diedarkan kepada pekerja syarikat perkhidmatan kiriman cepat untuk dipasang di kenderaan masing-masing sebagai salah satu usaha mempromosikan pemasangan bendera sepanjang bulan ini.

Nurhasnani berkata, program IOW Merdeka bertujuan memupuk dan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya di Melaka.

Beliau berkata, walaupun sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini tidak seperti tahun sebelumnya ekoran penularan Covid-19, namun ia masih boleh diraikan mengikut norma baharu.

Artikel Berkaitan:

"IOW merupakan aktiviti utama Japen dan ia akan digerakkan di kawasan tumpuan ramai seperti pasar awam, pusat pemberian vaksin selain sekatan jalan raya bagi menyampaikan mesej kenegaraan agar rakyat menghargai erti kemerdekaan yang dicapai pada hari ini.

"Rakaman pesanan atau amanat khas Ketua Menteri Melaka juga akan diperdengarkan kepada umum menerusi program hebahan bergerak ini," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!