Anwar perlu diberi sokongan sebagai PM sah: Kulasegaran
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi sokongan untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri yang sah, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.
Menurut Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang telah banyak berjuang untuk rakyat dan wajar diberikan peluang untuk membaiki kerosakan akibat pemerintahan tidak cekap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Semalam, tawaran (Tan Sri) Muhyiddin adalah usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya (sebagai Perdana Menteri) setelah semuanya gagal. Itu adalah pengakuan yang beliau telah hilang kepercayaan sebagai Perdana Menteri.
"Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa beliau perlu meletak jawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan khas pada Jumaat memberikan tujuh tawaran kepada pemimpin parti pembangkang untuk mendapatkan persetujuan bipartisan.
Antara tawaran tersebut ialah membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.
Bagaimanapun, Majlis Pakatan Harapan (PH) menolak tawaran Muhyiddin, menyifatkan tawaran itu sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.
Mengulas lanjut, Kula berkata tawaran tersebut termasuk kedudukan ketua pemimpin pembangkang setara menteri kanan telah dicadangkan oleh pihak pembangkang sebelum ini.
Namun dakwa Kula, tawaran itu telah 'dipinggirkan'.
"Tiada lagi masa. Kerajaan PN telah dianggap tidak lagi kompeten dan tidak boleh memerintah.
"Perubahan perlu dilakukan sekarang jika kita mahu negara ini kembali kepada landasannya semula," ujarnya lagi.
Pada Jumaat, Muhyiddin menjelaskan, negara memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.
Katanya, apabila kestabilan politik tidak dapat dicapai, segala usaha untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi juga sukar dicapai. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!