Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar dipilih projek rintis ASD

Rina (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM494,400 kepada Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia yang dipertanggungjawabkan melaksanakan projek rintis ASD di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar.
Rina (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM494,400 kepada Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia yang dipertanggungjawabkan melaksanakan projek rintis ASD di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar.
A
A
A

PARIT - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menambah baik pengurusan pusat penjagaan warga emas melalui Penyumberan Luar atau Alternative Service Delivery (ASD) yang menumpu kolaborasi strategi antara kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, projek rintis yang diletakkan dalam di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) itu dilaksanakan di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di sini melalui kerjasama Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia yang menerima peruntukan RM494,400.

Menurut beliau, menerusi projek itu, kerajaan dan NGO memberi fokus terhadap strategi baharu dengan menggembleng tenaga dari segi kepakaran, pengurusan ilmu dan pengalaman dalam mengendalikan program serta rumah khas untuk penjagaan warga emas.

"Dari segi pengoperasian, pihak kerajaan menyediakan kemudahan seperti bangunan, tetapi dari segi modul penjagaan, operasi harian dan pembangunan modal insan diuruskan oleh NGO yang dipertanggungjawabkan.

"Selain ilmu pengalaman, pelaksanaan ini juga dilihat dapat memberi penjimatan kos operasi sehingga 30 peratus kepada kerajaan.

"Jadi ini lebih kepada situasi menang-menang antara kedua pihak dan ia juga sebagai manifestasi pendekatan konsep 'whole of society' yang melibatkan kerjasama antara kerajaan dan NGO bagi memastikan kesejahteraan warga emas terpelihara," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau dan memantau pengoperasian Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian, Dr Maziah Che Yusof dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh.

Rina berkata, projek rintis berkenaan akan berjalan selama enam bulan untuk dinilai keberkesanannya sebelum diperluas ke rumah penjagaan warga emas di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sepanjang tempoh itu, kementeriannya akan membuat penambahbaikan yang bersesuaian dan sekiranya keberhasilannya memuaskan, projek sama akan dilaksanakan di institusi lain seperti pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) pula.

"Kementerian mengharapkan melalui projek ini, kualiti penjagaan warga emas dapat dipertingkat ke tahap lebih baik serta mengoptimumkan perbelanjaan dan sumber manusia selari dengan persediaan negara menjadi negara menua menjelang 2030," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!