Muhyiddin perlu lepas jawatan dengan segera
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melepaskan jawatannya dengan segera kerana tindakannya bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan negara, malah secara jelas mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pengumuman Muhyiddin pada Jumaat secara terbuka mendakwa blok pembangkang tidak mempunyai sokongan majoriti, jelas telah melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, buat pertama kali dalam sejarah negara seorang Perdana Menteri terpaksa menabur ‘sogokan’ kepada pembangkang secara terbuka agar terus menerima sokongan, sekali gus mengekalkan kuasanya.
"Justeru, adakah Muhyiddin sanggup menentang Yang di-Pertuan Agong hanya demi mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri?
"Muhyiddin juga membohongi Yang di-Pertuan Agong dan rakyat bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti selain memberi alasan akan membuktikannya dalam sidang Parlimen pada September nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata, Muhyiddin perlu sedar bahawa permainan politik dengan mengkhianati Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton pada 23 Februari tahun lalu telah memakan diri.
"Ternyata kerajaan yang dibentuk dengan penuh pengkhianatan ini tidak mampu bertahan.
"Muhyiddin perlu segera berundur demi kesuburan demokrasi dan kesejahteraan rakyat negara ini yang bukan sahaja berdepan krisis kesihatan, malah kekusutan ekonomi dan sosial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!