PM terdesak selamatkan hayat politik

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengemukakan tujuh tawaran kepada ahli Parlimen disifatkan seperti terdesak untuk menyelamatkan hayat politik desperado.

Pengerusi UMNO Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rangka persefahaman rentas parti itu tidak lebih sekadar 'gula-gula politik' dan cuba untuk menampakkan seolah-olah usaha itu suci bagi menyelamatkan negara.

"Beliau (Muhyiddin) sendiri sudah mengakui tiada satu pihak pun kini memperoleh sokongan majoriti di Parlimen iaitu satu pengakuan bersalah (admission of guilt) yang nyata di pihaknya, yang sebelum ini sering mengakui mempunyai majoriti berkenaan.

"Saya percaya, tawaran terbuka ini tidak akan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen terutamanya dalam kalangan ahli UMNO yang masih setia dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) apatah lagi Perhimpunan Agung UMNO 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadap beliau diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Mengulas lanjut tawaran itu, Wan Rosdy berkata, sewajarnya Muhyiddin bersikap 'gentleman' tanpa membuat tawaran terbuka seperti ini.

Katanya, ini kerana perbuatan itu akan dilihat sebagai satu sogokan tidak bermaruah.

Artikel Berkaitan:

"Persidangan khas Parlimen sesegera mungkin bagi menentukan keabsahan kedudukannya," ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Rosdy mahu persepakatan yang terjalin UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional diperkukuhkan.

"Inilah sebenarnya alternatif terbaik dalam mengharungi kemelut yang ada, Insya ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!