Parti politik digesa henti tekanan politik, bantu banteras Covid-19
KUALA LUMPUR - Semua parti politik perlu bersikap terbuka dan merangka persefahaman bagi memastikan usaha memulihkan negara daripada pandemik Covid-19 dapat dilaksanakan dengan baik.
Penganalisis politik dan media sosial, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, justeru itu tekanan politik ketika ini harus dihentikan agar usaha memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi dapat diteruskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
“Secara jelas telah dimaklumkan bahawa pilihan raya akan diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022, maka kita harus bersabar dan kurangkan tekanan politik serta fokus terhadap pandemik Covid-19.
“Blok pembangkang harus menyahut seruan untuk bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) buat ketika ini untuk kita keluar daripada pandemik Covid-19 dan bagi pembukaan semula sektor ekonomi,” kata pensyarah Universiti Teknoloji MARA (UiTM) itu dalam kenyataan pada Sabtu.
Sara berkata, parti politik tidak seharusnya mendesak kerajaan dengan pelbagai tekanan politik termasuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat kerana yang akan menanggung kerugian adalah rakyat yang harus berdepan dengan pandemik yang amat berbahaya ini.
Menurut beliau, negara perlu mengambil iktibar daripada kesan pilihan raya yang diadakan semasa pandemik ini seperti di India, Amerika Syarikat dan Poland yang menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 selepas pilihan raya berkenaan.
“Maka, rangka persefahaman rentas parti memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.
“Ketepikan agenda politik masing-masing buat sementara waktu dan lihat peluang untuk semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh tidak kira aspek pandemik Covid-19 mahupun ekonomi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!