Murid berkeperluan khas terima bantuan
TEMERLOH - Wajah ceria jelas terukir di wajah penerima bagi murid berkeperluan khas (MBK) menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) oleh kerajaan negeri.
Seramai 27 murid terpilih menerima RM250 seorang dalam penyerahan secara pandu lalu yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin di pejabat ADUN Lanchang di sini pada Jumaat.
Bagi seorang tukang cuci, Nur Latifah Abdullah, 43, menyambut baik usaha kerajaan negeri membantu golongan terbabit.
Ujarnya, dia ingin menyimpan wang tersebut untuk kegunaaan anak bongsunya, Shahrizan Abdullah,15, yang mengalami masalah lembam.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana nasib golongan istimewa seperti anak saya turut mendapat perhatian," katanya kepada Sinar Harian.
Bagi seorang suri rumah, Habsah Mohamad, 61, wang tersebut akan digunakan untuk keperluan anaknya, Mohd Zainal Yahya,18, yang menghadapi masalah pembelajaran.
"Bantuan ini sangat membantu ibu bapa dan amat hargai usaha kerajaan negeri tidak meminggirkan golongan istimewa seperti anak saya," ujarnya lagi.
Sementara itu, Mohd Sharkar mengharapkan bantuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ibu bapa dan digunakan sebaik mungkin.
Seramai 624 MBK di daerah Temerloh terpilih menerima bantuan tersebut dan diagihkan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lanchang (76), Kuala Semantan (195), Mentakab (229), Kerdau (27) dan Jenderak (97).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!