Paralimpik Tokyo: Nantikan aksi kelas dunia atlet para negara

1,000 kali ganda tumpuan dan usaha akan diberikan barisan atlet para negara, yang bakal membawa cabaran Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada 24 Ogos ini. Gambar hiasan
1,000 kali ganda tumpuan dan usaha akan diberikan barisan atlet para negara, yang bakal membawa cabaran Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada 24 Ogos ini. Gambar hiasan
A
A
A

BUKAN 100 peratus sebaliknya 1,000 kali ganda tumpuan dan usaha akan diberikan barisan atlet para negara, yang bakal membawa cabaran Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada 24 Ogos ini.

Keyakinan itu dilontarkan Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang teruja menantikan aksi berkelas dunia barisan atlet para negara pada temasya sukan berprestij itu.

Ras Adiba yang pernah mewakili Malaysia pada Sukan Para ASEAN 2015 dan Sukan Para Asia 2018 dalam acara menembak 10 meter (m) air rifle, optimis barisan atlet para negara sudah bersedia untuk menyajikan persembahan terbaik, selepas banyak masa dicurahkan dalam sesi latihan.

“Saya sebenarnya tidak sabar untuk melihat sahabat-sahabat saya bertanding di Tokyo dan saya tahu mereka akan memberikan bukan 100 peratus tetapi 1,000 kali daya dan usaha, kerana mereka sendiri telah pun berlatih berminggu-minggu, berbulan-bulan dan bertahun-tahun.

“Mereka adalah harapan kami semua, harapan rakyat Malaysia dan saya sungguh-sungguh ingin mereka mengetahui doa saya dan semua bersama mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui pada program pemberian sumbangan keperluan harian dan baucar barangan runcit kepada 106 individu OKU termasuk atlet sukan para yang terkesan akibat Covid-19 di perkarangan pejabat Persatuan Boccia Selangor, Petaling Jaya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ras Adiba mengharapkan barisan atlet para negara dapat membawa pulang kejayaan membanggakan di Tokyo, sekali gus mampu memperbaiki pencapaian pada edisi Rio 2016.

“Mereka perlu bawa balik seberapa pingat yang boleh dan kibarkan bendera Malaysia di Tokyo, kita nak dengar laungan Negaraku di sana, Insya-ALLAH,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September menyaksikan seramai 22 atlet negara akan menggalas cabaran dalam sembilan jenis sukan melibatkan 32 acara keseluruhan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan sasaran tiga pingat emas buat kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo, sekali gus menyamai pencapaian di Rio lima tahun lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!