Ahli Parlimen perlu runding kerjasama rentas parti: Penganalisis

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tawaran-tawaran kerjasama dwipartisan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertimbangkan dengan serius dalam usaha melaksanakan reformasi undang-undang dan Parlimen ke arah kestabilan politik negara.

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia berpendapat, tawaran yang dicadangkan itu mempunyai impak baik jangka panjang kepada proses demokrasi negara selain mampu mewujudkan senario politik lebih matang dan berhemah.

Justeru, katanya, ahli Parlimen daripada kerajaan mahupun pembangkang wajar mengambil peluang itu dengan mengadakan rundingan untuk mencapai, menstabilkan atau melakukan gencatan politik, agar tumpuan pemulihan kepada impak Covid-19 dapat dilaksanakan.

“Kita harus melihat, sebenarnya tujuan tawaran itu untuk melindungi dan mempertahankan institusi perlembagaan, itu yang penting.

"Perkara ini juga perlu diterjemah secara rasional dan praktikal bukannya emosional semata... jika krisis ini berterusan, pembangkang juga akan dipertanggungjawabkan kerana dilihat tidak mahu melakukan reformasi parlimen dilaksanakan,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan secara maya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV pada Sabtu.

Program itu turut disertai Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub dan Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari.

Pada Jumaat, Muhyiddin mengumumkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang mengandungi tujuh perkara yang akan dilaksanakan kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadap beliau diluluskan di Dewan Rakyat termasuk tawaran tempoh jawatan Perdana Menteri terhad kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen,

Tawaran lain, keseimbangan jumlah keanggotaan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, serta pelaksanaan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik serta rang undang-undang termasuk belanjawan akan dirunding terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun cadangan itu mendapat pelbagai reaksi daripada parti-parti politik tempatan termasuk parti pembangkang.

Mengulas lanjut, Sivamurugan bagaimanapun melihat proses untuk mencapai persefahaman itu agak sukar ketika kini kerana pendirian pembangkang nampaknya hanya mahu melihat keabsahan serta kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Proses pemulihan krisis kesihatan dan krisis politik ini tidak dapat dicapai tanpa dua pihak (kerajaan dan pembangkang) bersedia untuk berkorban dan berkompromi dengan tawaran itu.

“Sekarang ini bukan masa untuk rebut jawatan Perdana Menteri tapi rebut hati rakyat yang sedang menderita... usah terus memangsakan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Tawfik berkata tawaran yang dikemukakan Perdana Menteri itu bukannya 'jalan mati' politik negara, sebaliknya permulaan untuk nafas baharu dalam arena politik tempatan dan kehendak rakyat.

Katanya, tawaran itu jelas disertakan dengan pelawaan kepada pembangkang untuk berunding dan membolehkan terma-terma atau keputusan akhir tawaran berkenaan dipersetujui secara konsensus.

“Elemen-elemen menolak sepenuhnya mempamerkan ada ahli politik yang tidak menunjukkan kematangan mereka... seolah-olah tiada kesungguhan untuk bersama-sama membantu untuk rakyat.

"Kita tak mahu ahli politik ini dilihat berjuang untuk ‘political survival’ (kelangsungan politik) semata, sehingga mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!