Tun M hairan kenapa ambil pencuri jadi ‘bossku’
SEMENYIH - Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad hairan mengapa ramai orang memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘bossku’.
Menurutnya, tindakan sebegitu menunjukkan seolah-olah Ahli Parlimen Pekan itu telah menjadi ‘hero’.
“Dia curi duit kita sahaja bukan apa dia sekarang ini hero bossku...bossku ‘the hero the hero the penyangak’. Itulah bossku orang itu.
“Tapi saya tak faham ambik pencuri jadi bos barangkali sama-sama pencuri, sebab itu pliih pencuri.
“Jadi saya dapati dia datang sini bukan main hebat lagi,” katanya ketika berucap semasa menghadiri program Santai 2-Roda Semenyih 2019, di sini.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman dan calon PH bagi PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.
Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, secara berseloroh beliau mengatakan tidak lama lagi Najib akan memakai baju kuning (baju oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Dia datang sini (Semenyih) bukan main hebat lagi, dah kena dakwa pun tak ditahan lagi. Tak pakai baju kuning (baju oren SPRM).
“Tak lama lagi pakai macam orang lain. Isa Samad (bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad) dah pakai. Lama-lama kuning semua tiada biru dah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!