11 aktiviti ekonomi dibenar kembali beroperasi esok

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran dengan membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi kembali beroperasi di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia melibatkan kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.

Menurutnya, turut dibenarkan dibuka semula adalah kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas, kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

"Bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantika, terdapat prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

"Ia termasuklah memakai sarung tangan, menghadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan 'fitting room'," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, SOP itu mungkin merumitkan tetapi ia demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

Menurutnya, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula itu juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

"Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos," katanya.

Kata beliau, kelonggaran untuk beroperasi semula yang diberikan kepada sektor ekonomi itu yang mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Jelasnya, keputusan itu juga dibuat setelah kerajaan berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dalam sektor-sektor berkepentingan.

"Seperti saya nyatakan sebelum ini, kerajaan menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa mempertimbangkan kemudahan-kemudahan lain (kepada rakyat) dengan memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat; ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan; serta kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan faham bahawa banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri," katanya.

Muhyiddin menegaskan, kerajaan sedar, semakin lama perkara berkenaan dihadkan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat.

Menurutnya lagi, kerajaan juga melihat bahawa amat penting untuk sektor ekonomi kembali dibuka secara berperingkat kerana jika tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah.

"Penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang saya umumkan ini akan terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.

"Sebagai contoh, sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus.

"Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuatkuasa," katanya.

Ujarnya, perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang diumumkan itu akan dikeluarkan oleh MKN dalam waktu terdekat.

Pada 8 Ogos lalu, Muhyidin mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Kemudahan-kemudahan itu termasuklah rentas negeri atau daerah bagi pasangan jarak jauh, anak jarak jauh bagi Fasa 1 PPN dan rentas daerah, dine-in dan aktiviti sukan outdoor bagi negeri-negeri di dalam Fasa 2 PPN dan seterusnya.

ne.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!