Fasa 2 PPN: 11 lagi aktiviti ekonomi dibenar beroperasi
SHAH ALAM - Kerajaan turut bersetuju membenarkan 11 aktiviti ekonomi di dalam sektor perdagangan dan pengedaran untuk kembali beroperasi di dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa pada Isnin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua 11 aktiviti ekonomi itu adalah tambahan kepada 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di dalam fasa satu.
"Aktiviti-aktiviti ekonomi tersebut membabitkan kedai barang fotografi dan perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati serta kedai antik dan kedai alat permainan.
"Turut terlibat kedai permaidani, kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif, kedai peralatan outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain), kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi serta kedai tembakau (termasuk vape dan rokok elektronik)," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Ekoran itu, beliau menegaskan, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula itu juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination).
Katanya, ia bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!