85 peratus penduduk Tanjong Karang sudah terima dua dos suntikan

Noh meluangkan masa bertemu dengan penerima vaksin di PPV IPP Tanjong Karang pada Ahad.
Noh meluangkan masa bertemu dengan penerima vaksin di PPV IPP Tanjong Karang pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Sebanyak 85 peratus penduduk di Tanjong Karang sudah menerima suntikan Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang sehingga Sabtu.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, sebanyak 62,247 dos pertama dan kedua telah diberikan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 33,526 dos pertama dan 28,721 lagi dos kedua.

"Matlamat kerajaan tercapai kerana telah melebih sasaran 80 peratus imuniti berkelompok," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di PPV IPP Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Noh berkata, pencapaian itu hasil usaha semua petugas dan sukarelawan di PPV tersebut yang melakukan pelbagai kempen dan kaedah termasuk yang hadir secara terus atau 'walk in'.

Kata beliau, sebelum ini pihaknya hanya menyasarkan sebanyak 40, 000 dos digunakan di PPV itu, namun jumlah berkenaan sehingga kini meningkat melebihi 60,000 dos.

"Pada mulanya, PPV ini hanya menampung kapisiti 1,000 dos sehari, tetapi meningkat secara purata sehingga 1,600 dos sehari," katanya.

Katanya, beliau dimaklumkan PPV itu dijangka ditutup pada 22 Ogos ini berikutan hampir kesemua yang layak sudah mendapat suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).

Artikel Berkaitan:

"Saya meminta penduduk di Tanjong Karang termasuk orang di luar kawasan ini yang masih belum menerima janji temu boleh datang ke sini secara walk in dalam tempoh seminggu untuk mendapatkan suntikan Covid-19.

"Saya juga berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor serta pemimpin masyarakat yang bersama-sama membantu memudahkan kelancaran PPV ini beroperasi sejak pembukaannya pada 28 Jun lalu, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!