Tiada keperluan tukar kerajaan: PBGN

Khairul Adzha
Khairul Adzha
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Belia Gerak Niaga (PBGN) berpendapat tiada keperluan untuk bertukar kerajaan ketika negara dalam keadaan kritikal dan tegang dengan pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Khairul Adzha berkata, pertukaran kerajaan tidak akan mengubah pandemik dan ekonomi negara selagi pengukuhan politik gagal diketengahkan.

“Kami tegas mencadangkan kerajaan kini kekal sebagai kepimpinan negara dan menghabiskan terma mereka yang berbaki 11 bulan sahaja lagi.

“Jika sebaliknya berlaku, rakyat juga yang akan menjadi mangsa keadaan merosot mata pencarian akibat keputusan pemimpin negara.

“PBGN menggesa ahli politik supaya fokus pada pertumbuhan ekonomi negara dan kesihatan rakyat sewaktu wabak Covid-19 berbanding berebut kuasa semata-mata,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, jumlah jualan tidak memberangsangkan dan kos-kos lain yang terpaksa ditanggung menyebabkan hampir 70 peratus ahli PBGN terpaksa menutup perniagaan sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Kebanyakan pemilik premis enggan mengurangkan harga sewaan meskipun penyewa perniagaan tersebut tidak mampu menampung kos yang tinggi. Ini menyebabkan mereka mula memikirkan kemungkinan untuk kembali bekerja.

“Ia senario yang menyedihkan kerana kerajaan sebelum ini sering membicarakan berkenaan aspirasi anak muda untuk menceburi bidang perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Maklum balas menunjukkan 66 peratus ahli PBGN seluruh negara terkesan secara langsung terutamanya yang menjalani perniagaan perdagangan kerana nilai mata wang Malaysia tidak begitu kuat dan stabil disebabkan ketidaktentuan politik negara,” ujarnya.

Kini, PBGN mempunyai seramai 6,869 ahli aktif merangkumi peniaga kecil yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan seperti makanan dan minuman, penjual dalam talian serta peniaga pasar malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!