Kerajaan tukar kaedah guna tanah
PUTRAJAYA - Kerajaan telah menjalankan kajian dan akan menukar pendekatan dalam soal guna tanah di negara ini bagi sektor perladangan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, Malaysia diperkenalkan dengan sektor penanaman kelapa sawit semasa era penjajahan British yang ternyata membawa pulangan yang lumayan kepada penjajah.
"Tetapi kita tidak sedar mereka dirikan estet-estet secara besar-besaran lebih dari 10,000 hektar umpamanya, maka mereka mendapat keuntungan.
"Sebaliknya penduduk tempatan telah meniru cara-cara British yang dulu tetapi estet kita bersifat perusahaan kecil yang kadang-kadang bersaiz dua ke tiga ekar," katanya ketika berucap pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama Kepimpinan Kerajaan Persekutuan di sini hari ini.
Beliau berkata perusahaan kecil seperti itu tidak mungkin memberi kekayaan bahkan mungkin tidak memberi pendapatan yang cukup kerana ladangnya kecil.
Oleh yang demikian, kata Dr Mahathir para pekebun kelapa sawit harus mengubah pendekatan mereka untuk mendapat pendapatan yang lebih baik.
"Kalau kita mempunyai ladang yang besar, sebahagiannya mesti diguna untuk tanamannya yang menghasilkan pendapatan yang cepat atau cash crop dan tidak hanya bergantung kepada kelapa sawit yang menunggu masa yang lama untuk mendapat hasil," katanya.
Perdana Menteri berkata peniruan rakyat tempatan terhadap cara penanaman kelapa sawit oleh British tidak sepenuhnya.
"Kita cuma sedar kelapa sawit bagi pendapatan kepada kita tapi kita tidak sedar untuk memberi pendapatan, kita perlu ladang yang besar.
"Sebab itu apabila harga kelapa sawit jatuh kita menderita dan meminta subsidi dari kerajaan.
"Ini yang kita perlu perbetulkan iaitu kalau mahu tanam kita mesti satukan ladang-ladang kecil ini supaya menjadi ladang besar dan diurus oleh pihak profesional," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!