Noh 'terkejut' tawaran PM kepada pembangkang
TANJONG KARANG - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengakui 'terkejut' berhubung tawaran dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ahli Parlimen pembangkang serta faedah setaraf menteri kanan kepada ketua pembangkang
Beliau berkata, Muhyiddin sepatutnya berbincang mengenai tawaran itu di Parlimen dan mengikut perlembagaan yang sepatutnya.
"Saya rasa terkejut apabila mendengar pengumuman tawaran itu yang dianggap luar biasa," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, apa jua diberi kepada ahli Parlimen termasuk 'tawaran luar biasa' sepatunya dibawa dalam Parlimen.
"Contohnya, apabila hendak melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Jika dahulu di Parlimen (lantikan Pengerusi PAC) dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan, tetapi apabila kita hendak beri jawatan itu kepada ahli Parlimen pembangkang kita tidak umum begitu sahaja, sebaliknya kita bawa ke Parlimen untuk dibahas dan bincang," katanya.
Pada Jumaat lalu, Muhyiddin mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat, sekali gus kerajaan boleh terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antara rangka persefahaman yang ditawarkan ialah semua ahli Parlimen akan menerima peruntukan yang sama tanpa mengira parti politik dan membentangkan usul penambahan siling Dana Covid-19 kepada RM110 bilion untuk kelulusan di Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!