Nilai semula akta anti lompat parti: Pas
SHAH ALAM - Pas berharap akta akti lompat parti akan menjadi kenyataan pada masa akan datang bagi mewujudkan keharmonian dalam negara.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pergolakan politik yang berlaku kini dan sebelumnya berpunca ketiadaan akta tersebut dalam sistem perundangan.
Menurutnya, Pas pernah mengemukakan cadangan bagi pindaan akta itu, namun mahkamah menolak atas alasan bercanggah dengan perlembagaan dan kebebasan berpersatuan.
“Kita tidak perlu menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Oleh kerana pindaan ini memerlukan dua pertiga majoriti dalam Dewan Rakyat, maka sokongan semua parti sangat diperlukan.
“Ketiadaan akta inilah yang mencetuskan suasana tidak harmoni dalam politik negara.
“Sekiranya keadaan ini tidak dibendung segera, maka kemenangan politik akan menjadi suatu bahan yang boleh dijadikan cagaran, desakan, ugutan dan sangat merosakkan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Ahad.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan cadangan untuk melaksanakan persefahaman rentas parti sekiranya mendapat sokongan semasa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan pada September ini.
Selain itu, Muhyiddin turut memberitahu bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti di Parlimen jika usul undi percaya itu diluluskan.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas tegas tidak membenarkan mana-mana wakil rakyat yang dipilih untuk melompat parti, sehingga diadakan baiah dan sumpah laknat sebelum dipilih sebagai calon.
“Ini bagi meletakkan tanggungjawab kepada pengundi, parti yang mencalonkannya dan kredibiliti politik sebagai sebuah institusi yang mulia.
“Cadangan Perdana Menteri pada Jumaat lalu sangat penting untuk diteliti dan tidak boleh diketepikan kerana politik.
“Jika tidak dapat dilakukan sekarang, ia tetap wajib dilakukan pada masa hadapan. Pas berharap ia akan menjadi kenyataan suatu masa nanti,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!