Dua buah rumah hangus terbakar, tiada kemalangan jiwa
KLANG - Dua buah rumah hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Arang Pandaramaran, di sini, pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.22 pagi dan sepasukan anggota digegaskan ke lokasi bagi melakukan tugas pemadaman api.
Katanya, sejurus tiba, komander operasi mendapati kebakaran berkenaan bermula di tingkat satu sebuah rumah kelas B berkeluasan 12x21 meter persegi.
"Anggota JBPM kemudiannya berusaha melakukan tugas pemadaman dan api berjaya dikawal pada jam 10.55 pagi," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Dalam pada itu, PGO JBPM Selangor berkata, rumah pertama mengalami kebakaran 100 peratus manakala rumah kedua pula musnah 80 peratus.
Tambahnya, tiada sebarang kemalangan jiwa susulan kejadian daripada itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!