Tutup PPV kerana masalah bekalan vaksin tak patut berlaku: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

BUTTERWORTH - Penutupan empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Pinang berikutan gangguan bekalan Pfizer-BioNTech disifatkan tidak munasabah dan menimbulkan persoalan mengenai kecekapan kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, penutupan PPV bukan hanya berlaku di Pulau Pinang tetapi di beberapa negeri lain.

Menurutnya, perkara ini tidak dapat diterima apabila jangkitan dan kematian akibat pandemik Covid-19 ketika ini melonjak pada rekod tertinggi dengan kes jangkitan kumulatif 1,384,353 dan angka kematian 12,228.

"Berikutan kegagalan kerajaan mengawal Covid-19, menyediakan kemudahan kesihatan yang sewajarnya hingga berlaku kekurangan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital awam dan swasta selain keadaan hospital yang menyedihkan, vaksinasi dilihat sebagai satu-satunya sumber perlindungan.

"Rakyat mula takut dengan situasi pandemik ketika ini malah dikhabarkan terdapat permintaan tinggi terhadap pembelian vaksin melalui pihak swasta dengan harga RM350 untuk dua dos. Adakah ini salah satu hasil yang menyedihkan daripada Program Imunisasi Kebangsaan (PICK)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, wakil rakyat DAP di negeri ini kecewa dengan apa yang berlaku, terutamanya kerana kurangnya maklumat dan komunikasi oleh pihak bertanggungjawab menguruskan bekalan vaksin.

Katanya, lebih malang kerajaan negeri juga turut dipersalahkan dalam kejadian berkenaan.

"Kerajaan negeri harus bersikap tegas dengan agensi kerajaan Persekutuan terutama atas kelewatan pelantikan ahli Parlimen Pulau Pinang yang boleh diterima oleh kerajaan Persekutuan dan negeri sebagai penyelaras Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) untuk mengurus dan memadankan kemudahan logistik dan bekalan vaksin dengan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"DAP percaya bahawa jika lantikan yang serupa dilakukan di Pulau Pinang seperti di Lembah Klang, kadar vaksinasi Pulau Pinang mungkin telah mencapai kadar vaksinasi dos pertama Lembah Klang iaitu 104.2 peratus penduduk dewasa dan bukannya 69.5 peratus pada 14 Ogos," katanya.

Beliau berkata, sasaran semasa vaksinasi 100 peratus penduduk dewasa menjelang September 2021 tidak boleh diterima dan perlu dipercepatkan sebelum Hari Merdeka demi menyelamatkan nyawa penduduk di negeri ini.

Tambahnya, seorang penyelaras OSC yang dilantik boleh melakukan tugas yang lebih baik untuk membantu kerajaan negeri dan Persekutuan mencapai sasaran vaksinasi dengan lebih cepat dan menyelesaikan semua masalah logistik.

Pada Sabtu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat gangguan pembekalan vaksin Pfizer ke negeri Pulau Pinang bermula 12 Ogos.

Berikutan itu, empat PPV di Kompleks Sukan Balik Pulau, Dewan Balai Rakyat Bayan Baru, Tapak Pesta dan Dewan Millenium ditutup pada Ahad.

Kesemua PPV awam itu akan beroperasi semula pada 16 Ogos 2021.

Susulan gangguan bekalan vaksin Pfizer, temu janji penerima dos dua vaksin Pfizer yang telah dijadualkan pada 15 hingga 19 Ogos akan dipinda kepada 22 hingga 26 Ogos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!