Sambut baik pembukaan sebahagian sektor ekonomi bagi fasa satu, dua
SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas menyambut baik pembukaan sebahagian sektor ekonomi bagi negeri-negeri fasa satu dan fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.
Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pembukaan sebahagian sektor ekonomi itu sedikit sebanyak memberikan nafas kelegaan kepada pengusaha kecil seperti pemilik kedai cuci kereta yang diberikan kelonggaran untuk kembali menjana pendapatan akibat penutupan operasi sejak sekian lama.
Menurutnya, pembukaan sebahagian sektor itu juga adalah rentetan perancangan jangka panjang kerajaan dalam menggiatkan vaksinasi, sehingga berjaya mencapai lebih 50 peratus populasi negara telah divaksin sekurang-kurangnya satu dos.
"Ia juga menampakkan hasil berdasarkan kenyataan beberapa anggota kesihatan berikutan berlaku penurunan kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) melibatkan warganegara, sekali gus menunjukkan usaha kerajaan mula menampakkan hasil.
"Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sebenarnya tidak kurang seperti yang dilaksanakan di United Kingdom, apabila kerajaan mempergiatkan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok, dan seterusnya membuka sektor ekonomi secara serentak dan terancang, seiring peningkatan kadar populasi yang menerima vaksinasi.
"Usaha yang kerap diperlekehkan oleh sesetengah pihak, kini mula menunjukkan sinar di hujung kegelapan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, Khairul Nadzir Helmi berkata, pihaknya turut berharap agar program vaksinasi terus dipergiatkan, termasuklah cadangan menggerakkan suntikan vaksin secara rumah ke rumah atau pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu, bagi memastikan lebih ramai divaksinasi sebelum Oktober.
Pada masa sama, Pemuda PAS turut mengajak semua pihak, termasuk ahli politik, golongan persendirian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agar menumpukan usaha sepenuhnya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
Katanya, langkah yang dilaksanakan pihak kerajaan sudah mula menampakkan hasil.
"Sayang jika ia terhenti akibat persengketaan dan perbalahan. Semoga wabak ini akan berakhir dengan segera, dan kehidupan rakyat kembali seperti sediakala," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!