Pemergian Mohd Redzuan kehilangan buat kor diplomat negara
KUALA LUMPUR - Pemergian Allahyarham Datuk Mohd Redzuan Mohd Kushairi, Duta Besar Malaysia pertama ke Uzbekistan, merupakan kehilangan besar kepada kor diplomatik negara kerana beliau adalah tokoh penuh berwibawa dan bersemangat apabila berdepan isu politik global.
Mohd Redzuan, anggota kumpulan G25 yang terdiri daripada tokoh Melayu yang berpengaruh, menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat minggu lepas di Institut Jantung Negara (IJN) di mana beliau menerima rawatan selepas mengalami serangan jantung.
Beliau berusia 69 tahun. Beliau meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.
Dalam satu penghormatan tulus ikhlas yang dikeluarkan kepada Bernama, bekas diplomat Datuk M. Santhananaban berkata sahabat lama merangkap rakan sekerjanya itu sentiasa mempamerkan semangat yang membara berkaitan isu berkepentingan awam dan menghormati kedaulatan undang-undang.
"Negara telah kehilangan satu jiwa yang besar, seorang sahabat kepada semua dan seorang mentor kepada generasi muda diplomat serta penjawat awam kita," kata bekas duta besar Malaysia ke Korea Utara itu.
"Beliau berkawan dengan semua orang dengan sifatnya yang sentiasa ceria dan merupakan antara diplomat negara paling bijak serta mampu merealisasikan sesuatu menggunakan pengaruhnya. Redzuan juga adalah seorang universalis serta memiliki pencapaian cemerlang, dan menyandang jawatan sebagai duta bukanlah sesuatu yang baharu kepadanya selepas dua setengah dekad berkecimpung dalam dunia diplomasi," katanya.
Kedua-dua sahabat memulakan alam persekolahan di Sekolah King Edward VII sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera di Universiti Malaya.
Kedua-duanya turut menyertai Perkhidmatan Luar Negeri Malaysia pada 1972.
Santhananaban berkata penempatan Mohd Redzuan ke Moscow, Washington DC, Addis Ababa, London, New York dan akhirnya Uzbekistan telah membolehkan beliau berinteraksi dengan generasi perintis Malaysia dalam bidang diplomatik termasuk Tun Ghazali Shafie, Tengku Ahmad Rithauddeen, Tan Sri Zakaria Mohd Ali danTan Sri Razali Ismail.
"Beliau memilih untuk terjun ke dunia korporat dan bukan kerajaan pada pertengahan tahun 1990-an, dan meskipun berdepan laluan penuh ranjau pada awalnya, beliau telah mendedikasikan dirinya untuk mempromosi pelbagai rangkaian berbeza membabitkan badan pemikir, belia, ahli akademik, media dan akhbar serta organisasi kebudayaan terutama di rantau ASEAN," katanya.
Santhananaban berkata antara 2010 dan 2014, mereka bersama-sama Razali Ismail dan Mokhtar Selat mengendalikan Kumpulan Pengajian Dasar Luar, sebuah NGO yang berdedikasi untuk membina hubungan antara rakyat dalam rantau ASEAN.
Beliau berkata usaha kumpulan itu berjaya menghasilkan satu rangka kerja dalam menjalin hubungan rapat dengan diplomat kanan yang sudah bersara di semua negara ASEAN dan ini mewujudkan kaitan dengan universiti-universiti di Thailand dan Indonesia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!