Pemimpin politik perlu berunding selamatkan masa depan negara
SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin parti perlu kembali ke meja rundingan dengan mencari penyelesaian terbaik ke arah kestabilan politik negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, mereka perlu berbincang dengan tenang dan saksama demi masa depan agama, negara dan rakyat terutama berdepan ancaman pandemik Covid-19.
“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menjadi mediator untuk memanggil semua pemimpin politik khasnya yang beragama Islam duduk berbincang mencari penyelesaian.
“Demi masa depan Islam sebagai agama Persekutuan, negara yang berdaulat dan rakyat yang harmoni.
“Tempoh wajib diadakan pilihan raya pun sudah tidak lama. Elok sangat masa yang ada ini, kita bersatu dan fokus menyelesaikan Covid-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, gerakan menukar dan mendesak Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan adalah tidak sesuai dan tidak menyelesaikan masalah.
Tambahnya, sehingga kini masih belum ada ahli Parlimen yang mempunyai sokongan yang melepasi had majoriti untuk menjadi Perdana Menteri dan barisan kabinet.
“Ataupun, dalam situasi margin yang kecil begini, kalau naik kerajaan baharu, mereka pula akan berhadapan dengan situasi yang serupa pada hari ini.
“Dipersoal sokongan majoritinya dan dipertikai pula keabsahan sebagai sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.
Jelas beliau, tiada salah jika diadakan gencatan politik untuk semua pihak membantu kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 dan program vaksinasi yang sedang giat dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!