Pendapatan 200 penoreh terjejas, 9,000 ekor ikan mati akibat serangan gajah
KUALA KRAI - Punca pendapatan 200 penoreh getah di empat buah kampung di sini terjejas teruk apabila kebun mereka diserang sekumpulan gajah liar sejak dua minggu lalu.
Sekumpulan 11 ekor gajah itu bukan sahaja merosakkan kebun getah milik penduduk bahkan turut memusnahkan 9,000 ekor ikan air tawar milik seorang penternak termasuk ikan jelawat, lapan jawa dan juga baung dalam kejadian di Kampung Sungai Mengkuang, Bukit Pagar Dalam, Sungai Tias dan Sungai Pa.
Penoreh getah, Mahamood Daud, 70 berkata, kejadian itu sudah berlaku sejak dua minggu lalu menyebabkan dia dan penduduk kampung di sini tidak dapat keluar menoreh seperti biasa apabila kebun mereka menjadi sasaran kumpulan gajah terbabit.
"Kami bukan sahaja takut dengan kemunculan gajah tetapi paling menyedihkan apabila pokok getah turut musnah dikerjakan mereka.
"Kali terakhir kemunculan kumpulan gajah tersebut dikesan pada pagi tadi, malah kami turut dikejutkan dengan 'jeritan' haiwan besar itu sehingga penduduk menjadi semakin gerun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Sungai Mengkuang di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, penternak ikan air tawar, Azili Mahamood, 41 berkata, dia terpaksa berputih mata apabila 9,000 ekor ikan peliharaan yang menunggu masa untuk dipasarkan pada Oktober mati begitu sahaja apabila kumpulan gajah tersebut menjadikan kolam ikan miliknya sebagai tempat mandian.
Menurutnya, susulan kejadian itu dia mengalami kerugian sekitar RM8,000 apabila ikan jelawat, lapan jawa dan baung mati disebabkan kejadian itu.
Dia yang mengusahakan kolam tersebut sejak lima bulan lalu berkata, sehingga hari ini dia masih lagi trauma memikirkan nasib yang menimpanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Mengkuang, Zulkiflly Sulaiman berkata, kejadian itu sudah berlaku sejak tahun lalu namun serangan haiwan itu tidak seteruk kali ini.
Katanya, sebelum ini ada 14 ekor gajah liar berkeliaran di kawasan yang melibatkan 18 buah kampung di sini.
"Tiga ekor daripadanya telah ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan gajah yang sedang membuat onar ketika ini adalah saki baki daripada kumpulan tersebut.
"Saya mewakili penduduk di sini berharap pihak Perhilitan segera mengambil tindakan bagi memastikan penduduk dapat keluar menoreh dan menjalani kehidupan tenang seperti biasa," katanya.
Menurutnya, kemusnahan bukan hanya melibatkan kebun getah, kolam ikan tetapi pokok buah-buahan milik penduduk sehingga mereka terpaksa menanggung banyak kerugian.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya telah mengambil maklum perkara tersebut dan langkah segera sedang diambil bagi menyelesaikan masalah terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!