Covid-19: Peraturan diperketat di gimnasium Labuan
LABUAN - Memandangkan kebanyakan perniagaan telah mula beroperasi sejak minggu lepas di sini, pengusaha pusat gimnasium mengenakan langkah pencegahan untuk menyesuaikan dengan normal baharu.
Langkah itu termasuk memberi masa tertentu kepada pengunjung iaitu hanya 90 minit bagi 15 orang untuk setiap sesi latihan fizikal.
Pengendali pusat kecergasan terbesar di Labuan, Swole Up Fitness, Hasvir Sing Bal berkata prosedur operasi standard (SOP) yang mengetengahkan penjarakan fizikal dan garis panduan lain untuk membendung penularan Covid-19,sebahagiannya disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipertingkatkan (untuk peraturan lebih ketat) oleh pihak pengurusan pusat itu.
“Memandangkan gimnasium sudah dibenar beroperasi, sebagai pemilik, kami akan memfokuskan kepada penguatkuasaan penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung.
“Kami telah memutuskan untuk mengehadkan bilangan pengunjung kepada 15 orang bagi tempoh masa tertentu untuk slot selama 90 minit. Di Swole Up Fitness, bilangan pengunjung akan dikurangkan separuh bagi setiap slot.
"Kami mahu mengekang jangkitan, sehubungan itu, pengunjung akan diberi slot yang berbeza. Sebelum pandemik, kami tidak menetapkan had untuk slot atau kumpulan. Setiap orang boleh melakukan latihan fizikal, biasanya ia boleh mencecah 30 orang di pusat kecergasan kami setiap hari,” katanya kepada Bernama pada Ahad.
Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, keahlian baharu akan ditangguhkan buat masa ini.
“Kami mengehadkan pendaftaran baharu dan akan memulakan dengan ahli sedia ada dan adalah lebih baik sekiranya mereka telah lengkap dua dos vaksin,” katanya lagi.
Hasvir berkata, rekod setiap pengunjung di gim itu juga akan dicatatkan, bagi memastikan pengesanan dapat dibuat sekiranya diperlukan.
“Selain petugas sering melakukan sanitasi ke atas peralatan, ahli juga akan diminta membawa tuala sendiri. Kami juga menghalang pengunjung menggunakan kemudahan bilik mandi pada hari tertentu, tetapi bilik persalinan masih boleh digunakan.
“Keselamatan ahli adalah keutamaan kami. Beberapa perubahan SOP di gim itu adalah untuk memastikan keselamatan ahli dan kakitangan, iaitu penting untuk memastikan gim kami akan terus beroperasi dan ke arah menjadikan Labuan zon hijau Covid-19,” katanya.
Labuan mencapai imuniti kelompok pada 27 Julai yang menyebabkan Wilayah Persekutuan ini beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila sektor ekonomi termasuk aktiviti rekreasi dibenar dibuka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!