7,345 penduduk Kubang Pasu divaksin di PPV UUM

Suasana ketika petugas menyantuni penerima yang hadir mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Dewan Mu’adzam Shah, UUM. Foto UUM
Suasana ketika petugas menyantuni penerima yang hadir mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Dewan Mu’adzam Shah, UUM. Foto UUM
A
A
A

SINTOK - Seramai 7,345 penduduk sekitar Kubang Pasu telah menerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerusi program outreach institusi pendidikan tinggi (IPT) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, suntikan vaksin berkenaan dilakukan di Dewan Mu’adzam Shah bermula pada 7 Ogos, dan terbaharu pada Jumaat dan Sabtu.

Menurutnya, bagi tempoh dua hari lalu, sebanyak 4,903 dos vaksin diberikan manakala pada 7 Ogos sebanyak 2,442 dos.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua petugas dan sukarelawan terlibat bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi, ditambah pula kesedaran untuk mencegah jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan masyarakat sekarang.

"Saya berterima kasih kepada semua termasuk penerima yang hadir mendapatkan suntikan vaksin dos pertama ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tanpa sebarang masalah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Bashawir berkata, pihaknya akan memastikan kemudahan di PPV itu akan terus dipertingkatkan agar penerima yang hadir mendapatkan suntikan vaksin berasa selesa dan mengambil masa singkat.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr Adi Azhar Abdul Razak berkata, proses pemberian vaksin berjalan lancar dan hanya mengambil masa singkat oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dibantu petugas PKU, sukarelawan UUM dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pemberian vaksin untuk dos kedua akan dilakukan pada 28 Ogos, 15 dan 16 Oktober di Dewan Mu’adzam Shah dan semua penerima vaksin dos pertama perlu mengikut tarikh pada kad yang diberikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang tiga hari pembukaan PPV outreach IPT UUM bagi pemberian dos pertama, pihaknya memastikan staf dan warga kampus yang hadir mendapatkan suntikan menepati janji temu agar sebilangan besar dapat divaksin.

“Ia adalah usahasama untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan segera dan pada masa sama saya ingin mengingatkan pentingnya menjaga SOP walaupun kebanyakan sudah menerima vaksin kerana kita belum menang melawan virus ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!