Pastikan hanya individu lengkap vaksin dibenar masuk premis: KPDNHEP

KPDNHEP akan memastikan arahan kerajaan dipatuhi dan hanya membenarkan individu yang menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan masuk ke premis dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP). Foto Bernama
KPDNHEP akan memastikan arahan kerajaan dipatuhi dan hanya membenarkan individu yang menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan masuk ke premis dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP). Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan arahan kerajaan dipatuhi dan hanya membenarkan individu yang menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan masuk ke premis dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP telah menghubungi hampir semua pemain industri yang terlibat melalui persatuan-persatuan dan akan memberikan bantuan khidmat nasihat bagi membolehkan mereka membuka semula perniagaan pada 16 Ogos ini.

Menurutnya, kementerian telah menerima maklum balas yang positif daripada pemain-pemain industri yang mana persatuan-persatuan akan mengeluarkan kenyataan masing-masing menyambut baik kemudahan yang baru diberikan ini.

“Pembukaan sektor tambahan yang diumumkan perlu diambil sebagai tanggungjawab dan bukannya satu kebebasan yang disalahgunakan.

“KPDNHEP yakin dengan sikap yang matang dan bertanggungjawab daripada semua pihak, situasi pandemik Covid-19 akan terus bertambah baik.

“Kerajaan telah mempercepatkan pembukaan 11 sektor ekonomi domestik di negeri Fasa 1 dan 11 sektor di negeri Fasa 2 bermula pada 16 Ogos ini” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, katanya, KPDNHEP merasakan kesan yang dihadapi oleh pemain industri sektor peruncitan dan pengedaran apabila perniagaan dan premis terpaksa ditutup selama tiga bulan sejak 12 Mei lalu bukan sahaja kepada ekonomi dan perniagaan mereka tetapi semua rantaian sektor tersebut termasuk pekerja dan keluarga, pembekal dan pemborong.

Tambah beliau, sehubungan itu, kementerian menyokong keputusan kerajaan mempercepatkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi berdasarkan kadar vaksinasi orang dewasa yang telah mencapai purata 72.1 peratus untuk dos pertama dan 44.5 peratus untuk dos kedua.

Artikel Berkaitan:

"Purata sehari pesakit yang menunggu di wad kecemasan juga telah menurun secara drastik daripada 909 orang kepada 239 orang pada 13 Ogos lalu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!