PKR sambut baik Muhyiddin serah surat letak jawatan

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik laporan media mengenai penyerahan surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, sudah terang lagi bersuluh Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti sokongan ahli-ahli Parlimen.

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar

Bagaimanapun beliau berkata, khabar tidak enak bertiup dengan pantas di portal-portal media bahawa ada usaha daripada pihak tertentu untuk mencalonkan nama-nama daripada anggota kabinet Muhyiddin sebagai calon untuk kerusi Perdana Menteri.

Menurutnya, PKR berpandangan adalah satu perkara yang menyedihkan seluruh rakyat sekiranya anggota-anggota daripada kabinet kerajaan yang nyata gagal diberi peluang sekali lagi untuk meneraju negara sekali gus menyambung kehancuran yang sedang berlaku.

"Anggota-anggota daripada kabinet Muhyiddin ini bukan sahaja telah terbukti gagal mengurus pandemik yang melanda bahkan gagal membawa negara dan rakyat keluar daripada kemelut ekonomi yang kritikal.

"Lebih memburukkan keadaan, apabila anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob) yang baharu dilantik bersekongkol dan memilih untuk mempertahankan Muhyiddin yang jelas tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, PKR menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya usaha licik pihak yang bobrok ini dan tidak segan silu mempertahankan jawatan dan kuasa mereka.

Artikel Berkaitan:

"PKR sangat faham dengan situasi kritikal yang melanda rakyat dan negara serta ingin memberi ingatan bahawa rakyat sangat terdesak mengimpikan sebuah kerajaan dan pimpinan baharu bagi memulihkan Malaysia daripada pandemik serta kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!