PKP: Petani bimbang 10kg cili Bara tidak terjual sehari
KUANTAN - Seorang pengusaha cili fertigasi di Kampung Cempaka di sini kerugian hampir RM200 sehari selepas 10 kilogram (kg) cili Bara F1 l tidak dapat dipasarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Mohd Sofian Abdul Wahid, 49, menyuarakan kebimbangan apabila tanaman cili Bara F1 yang diusahakan di tanah seluas 0.8 hektar itu sudah dituai dua kali, bagaimanapun pandemik Covid-19 telah merencatkan proses penjualan dan penghantaran bekalan kepada pelanggan.
"Kebiasaannya lebih 10 kg dituai setiap hari, tapi sejak kebelakangan ini hanya sekitar dua ke tiga kilogram dalam tempoh tiga hari. Itu pun tempahan daripada pelanggan di sekitar Kuantan.
"Sebelum ini, saya boleh pasar cili saya di beberapa daerah di Pahang termasuk di Melaka dan Negeri sembilan, tapi kini saya tidak dapat berbuat demikian," katanya ditemui di kebun cilinya di Kampung Cempaka pada Ahad.
Sehubungan itu, Mohd Sofian merayu pihak berkaitan untuk membantunya memasarkan hasil tanaman itu.
Jelasnya, sejak mengusahakan kebun cili itu kira-kira setahun lalu, dia tidak menerima sebaranag bantuan daripada mana-mana pihak.
"Saya usahakan kebun ini dengan modal sendiri dan kaedah penanaman cili jenis Bara F1 ini juga saya hasil pengalaman yang ditimba ketika berada di Australia sekitar dua tahun lalu.
“Pernah juga saya cuba mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Pahang, namun disebabkan PKP, ada pegawai yang tidak masuk pejabat kerana arahan bekerja dari rumah, jadi saya tidak berpeluang bertemu mereka,” ujarnya.
Menurut Mohd Sofian, sistem fertigasi untuk kebun itu direka sendiri dan kosnya menelan belanja sekitar kira-kira RM20,000.
Tambahnya, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membantu dari aspek memasarkan hasil kebun cili ini dengan menjualnya kepada para peniaga di sekitar daerah Kuantan.
Dia juga menghasilkan cili jeruk untuk dijual di kawasan sekitar, termasuk kenalan bagi mengelakkan cili yang sudah dituai rosak.
“Saya harap sangat pihak Jabatan Pertanian (negeri Pahang) dan wakil FAMA dapat membantu saya, tidak kiralah bantuan latihan atau aspek pemasaran tapi datanglah tengok kebun ini dan salurkan bantuan sewajarnya,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!