Mayat remaja ditemui terapung, tersangkut di kawasan bakau

Mayat mangsa dibawa ke pos kawalan tempat kejadian selepas ditemui penduduk kampung kira-kira enam kilometer mangsa dilaporkan hilang di Sungai Sekudung, Serusup, Tuaran.
Mayat mangsa dibawa ke pos kawalan tempat kejadian selepas ditemui penduduk kampung kira-kira enam kilometer mangsa dilaporkan hilang di Sungai Sekudung, Serusup, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas pada Jumaat lalu akhirnya ditemui meninggal dunia di hilir Sungai Sekudung, Serusup pada pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 8.13 pagi itu, mayat Mohamad Amar Qayyum Rasmi, 15, ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut di kawasan bakau iaitu kira-kira enam kilometer dari lokasi terakhir mangsa hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mangsa oleh penduduk kampung di kawasan berkenaan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa memasuki hari ketiga selepas dilaporkan hilang pada Jumaat lalu dan pasukan memulakan operasi mencari pada jam 6.30 pagi.

"Bagaimanapun, pada jam 8.13 pagi mangsa telah ditemui oleh penduduk kampung sebelum pihak bomba ke lokasi iaitu kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.

Katanya lagi, mayat mangsa dibawa ke pos kawalan tempat kejadian pada jam 8.40 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis dan petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.

"Penemuan mangsa sekali gus menamatkan operasi SAR di lokasi itu pada jam 9.30 pagi," katanya.

Sebelum itu, mangsa yang berasal dari Kampung Bolong Lama, di sini, dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga rakannya di sungai terbabit.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!